Polis giat buru pengendali akaun FB hina Agong

Mohamad Fuzi Harun.

KUANTAN: Polis sedang mengesan pengendali akaun Facebook (FB) yang menggelarkan diri mereka “Sabah-Sarawak Merdeka” berhubung tindakan memuat naik gambar menghina Agong pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan sehingga semalam polis sudah menerima 91 laporan daripada pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), badan politik dan orang perseorangan berhubung perkara itu.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi siasatan sedang berjalan bagi mengesan individu-individu yang bertanggungjawab membuat ‘posting’ terhadap penghinaan tersebut pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas majlis perasmian penutupan Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara 2019 di Mahkota Golf Country Club hari ini.

Sementara itu, Fuzi meminta masyarakat agar tidak memuat naik sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kekecohan atau perkara negatif di media sosial berhubung perkara itu.

“Polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Jenayah Komersil Bukit Aman akan memantau perkara ini,” katanya.

Pada Khamis lalu, satu kumpulan yang menggelar diri mereka “Sabah-Sarawak Merdeka” bertindak memuat naik gambar menghina Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.