Polis sahkan jejak kewangan pembelian berlian merah jambu guna dana 1MDB

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Bukit Aman, Azlan Chik berkata, bukti terkumpul jelas menunjukkan wujud transaksi pembelian itu walaupun berlian merah jambu tersebut tidak ditemui sewaktu serbuan polis dibuat.

PETALING JAYA: Polis mengesahkan wujud jejak kewangan yang membuktikan transaksi pembelian berlian merah jambu (pink diamond) benar-benar berlaku dan sumbernya berpunca daripada 1MDB.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Bukit Aman, Azlan Chik dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat bukti jejak kewangan (money trail) transaksi pembelian berlian bernilai AS$23 juta itu daripada seorang peniaga barang kemas di New York.

Beliau merujuk penafian isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor tentang pembelian berlian tersebut yang tular di media sosial.

“Polis ingin menjelaskan bahawa terdapat jejak kewangan (money trail) transaksi pembelian ‘pink diamond’ yang bernilai AS$23 juta daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang syarikat 1MDB,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata, bukti yang terkumpul jelas menunjukkan wujud transaksi pembelian itu walaupun berlian merah jambu tersebut tidak ditemui sewaktu serbuan polis ke atas premis yang dikaitkan dengan Najib Razak sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan reaksi Rosmah berhubung isu cincin berlian merah jambu bernilai RM24 juta dikatakan dibeli oleh beliau.

“Saya maafkan, tapi apa yang penting minta maaf kepada rakyat. Mereka (Pakatan Harapan) sengaja menggunakan isu itu sebagai bahan (kempen) pilihan raya. Malangnya ramai percaya pada fitnah.

“Ini baru salah satu saja. Saya sabar, saya reda. Saya faham suami saya merupakan seorang pemimpin negara. Jadi, kalau apa yang dia alami, saya pun terpaksa alami kerana saya isteri dia,” katanya.

Isu berlian merah jambu hangat kembali berikutan jawapan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah di Dewan Rakyat awal minggu ini bahawa tidak berlaku pembelian berlian merah jambu yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen syarikat barang kemas untuk “isteri seorang VVIP”.

Menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) Amiruddin berkata, ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu untuk “isteri seorang VVIP” membuat perisytiharan kepada kastam dan tindakan sama turut dilakukan ketika beliau membawa batu permata itu keluar dari Malaysia.