Ramai pelatih tak bersedia galas kerja doktor, kata dekan

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dekan fakulti perubatan di Universiti Malaya (UM) berkata ramai siswazah perubatan yang menjalani latihan tidak bersedia untuk menggalas kerja doktor.

Dr Adeeba Kamarulzaman berkata program latihan memang mencabar kerana ramai doktor-doktor baru tidak sedar apa yang bakal mereka hadapi dalam kerja harian.

“Ramai yang datang tak bersedia untuk tugas itu. Menjadi seorang pelatih tidak mudah jika seseorang tak benar-benar bersedia.

“Sebab itulah pemilihan pelajar perubatan merupakan langkah pertama yang penting, yang kita perlu kaji,” katanya, dan menambah sesetengah pelajar menyertai bidang perubatan atas kehendak ibu bapa.

Ditemui pemberita selepas menghadapi persidangan MEDxUM anjuran Universiti Malaya yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini, Adeeba berkata sesetengah pelajar berpandangan menjadi seorang doktor membolehkan mereka peroleh pendapatan lumayan.

Beliau bekata sekolah-sekolah perubatan patut melatih para pelajar supaya berdaya tahan untuk menghadapi cabaran apabila ditugaskan di hospital.

“Dua tahun (tempoh latihan) menjadi persekitaran yang mencabar buat mereka kerana mereka beralih dari bilik kuliah kepada wad hospital.

“Sebilangan besar mereka tak boleh tahan,” katanya.

Terdahulu, Dzulkefly berkata kerajaan berharap pelajar perubatan boleh tamat pengajian pada masanya kerana hanya kira-kira 70% tamat latihan dalam tempoh 2 tahun.

Beliau berkata lantukan yang disebabkan oleh 30% pelajar lain memberi kesan pada bilangan slot-slot latihan untuk pelatih baru.

“Latihan ialah permulaan kerjaya seseorang dalam bidang kesihatan. Ia untuk menimba pengetahuan dan kemahiran untuk dimanfaatkan dalam kerjaya,” katanya.

Mengulas kenyataannya bahawa golongan B40 harus dibenarkan menikmati kemudahan di hospital-hospital swasta pada harga istimewa, Dzulkefly berkata wawasannya adalah mengurangkan pembahagian antara sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.

“Saya tak cadang perkara ini harus dilakukan serta-merta tetapi itulah cara kita perlu bergerak ke depan,” katanya.