Rosmah, Najib tak pernah beli berlian merah jambu, peguam jawab polis

Gambar fail.

PETALING JAYA: Peguam kepada isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor berkata anak guam mereka dan suaminya, Najib Razak tidak pernah membeli berlian merah jambu yang disebut dalam kenyataan polis hari ini.

Pasangan itu juga tidak pernah menerima berlian merah jambu itu, kata Geethan Ram dan K Kumaraendran dalam kenyataan hari ini.

“Polis juga mengesahkan berlian tersebut tidak dalam milikan Najib dan Rosmah,” katanya.

Terdahulu, polis berkata terdapat jejak kewangan transaksi pembelian berlian bernilai AS$23 juta itu daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang syarikat 1MDB.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Bukit Aman, Azlan Chik berkata, bukti yang terkumpul jelas menunjukkan wujud transaksi pembelian itu walaupun berlian merah jambu tersebut tidak ditemui sewaktu serbuan polis ke atas premis yang dikaitkan dengan Najib Razak sebelum ini.

Penjelasan itu menyusuli penafian Rosmah tentang berlian tersebut.

Isu berlian merah jambu hangat kembali berikutan jawapan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah di Dewan Rakyat awal minggu ini bahawa tidak berlaku pembelian berlian merah jambu yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen syarikat barang kemas untuk “isteri seorang VVIP”.