SPR kecewa parti politik terus bina barong panas dalam PRK Rantau

Pengerusi SPR Azhar Harun berkata, beliau sendiri terpaksa mengarahkan kegiatan barung panas dihentikan.

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan disiplin calon dan parti politik yang kurang memuaskan pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang berlangsung hari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana masih ada barong panas parti politik bertanding yang dibina berhampiran pusat mengundi.

Azhar berkata, SPR telah beberapa kali mengarahkan para penyokong parti, termasuk Pakatan Harapan (PH), supaya tidak mendirikan barong panas.

“Saya telah lawat 3 pusat mengundi, proses mengundi berjalan baik, cuma dari segi disiplin calon dan politik itu kurang memuaskan kerana barong panas masih dibina. Walaupun saya sendiri suruh berhentikan, mereka berhenti hanya 15 minit, kemudian mula balik.

“Saya kena beri amaran 2 kali baru berhenti, tapi kemudian mula balik. Sebenarnya ia tidak perlu sebab kita dah hantar kad maklumat pengundi dan kita ada barung SPR,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Nyatoh di sini, sambil memberitahu proses semakan pengundi boleh dibuat di khemah SPR.

“Di SJKT bandar Sri Sendayan terdapat 2 barong, tetapi yang beroperasi cuma satu, iaitu milik PH. Saya menyuruh mereka berhenti beberapa kali baru mereka berhenti.”

Azhar berkata, suasana “agak panas” bila berlaku insiden sorak-menyorak di luar pusat pengundian tetapi sorakan itu tidaklah mengganggu ketenteraman awam dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

PRK DUN Rantau hari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH, Dr S Streram dengan calon BN, Mohamad Hasan dan 2 calon Bebas, suri rumah Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Tempoh mengundi dijadualkan tamat pada jam 5.30 petang dan dan keputusan PRK diumumkan malam ini.