Tok Mat langgar undang-undang dedah undi, kata Bersih

PETALING JAYA: Bersih 2.0 menuduh calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan melanggar undang-undang pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya semasa membuang undi pada pilihan raya kecil Rantau hari ini.

Kumpulan pemantau pilihan raya dalam kenyataan berkata, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu boleh mempengaruhi orang lain apabila mendedahkan undinya.

“Adakah dia tidak tahu melanggar kerahsiaan undi adalah satu kesalahan pilihan raya, walaupun undi sendiri, atau dia melakukannya kerana mahu mencabar undang-undang?

“Pelanggaran oleh Mohamad itu, jika tidak ditangani, boleh mengalakkan orang lain mendedahkan undi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bersih menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya bertindak terhadap Mohamad, yang sedang mempertahankan kerusinya.