Tok Mat, Streram tunai tanggungjawab mengundi di Rantau

Calon BN bagi DUN Rantau Mohamad Hasan mengundi di SJKC Chung Hua bersama isteri dan 4 ahli keluarganya.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang berlangsung hari ini, Mohamad Hasan, tiba di Pusat Pembuangan Undi di sini kira-kira jam 8.20 pagi bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

Beliau tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua bersama isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta 4 ahli keluarga beliau.

Beliau yang berbaju kemeja berwarna cerah kelihatan tenang ketika tiba dan disambut penyokong BN yang hadir lebih awal.

Calon Bebas, Malar Rajaram yang mengundi di sekolah sama tiba lebih awal dan memasuki pusat membuang undi tepat jam 8.00 pagi.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram yang mengundi di SJKT Rantau tiba kira-kita jam 8.25 pagi.

Seorang lagi calon Bebas, Mohd Nor Yassin tidak mengundi kerana beliau merupakan pengundi di DUN Gemencheh, Tampin.

Pengundian PRK DUN Rantau bermula sebaik sahaja 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka tepat jam 8 pagi ini.

Proses mengundi yang dijadualkan berjalan selama 9 jam setengah itu membabitkan seramai 20,793 orang daripada keseluruhan 20,804 orang pengundi biasa yang layak mengundi. Seramai 11 pengundi mengundi secara pos.

Proses pengundian akan ditutup pada jam 5.30 petang ini.

Calon PH, Dr S Streram selesai mengundi di SJKT Rantau.

Pada 9 April, 110 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera serta pasangan dan polis menjalankan tanggungjawab masing-masing. Peratus keluar mengundi bagi pengundi awal ialah 96%.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menempatkan 515 petugas di semua pusat pengundian menjangka 70% pengundi akan keluar mengundi sebelum tempoh mengundi berakhir petang ini.

PRK ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan Streram; Mohamad Hasan; dan calon Bebas, suri rumah Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Berdasarkan angka SPR, 55.51% atau 11,615 pengundi di DUN ini adalah orang Melayu, Cina 3,863 (18.46%), India 5,441 (26%) dan lain-lain 7 orang (0.03%).

PRK ini diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 terbatal dan tidak sah.