Tunjuk kertas undi: SPR tak pasti Tok Mat langgar peraturan

Azhar Azizan Harun.

SEREMBAN: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun tidak pasti sama ada tindakan calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan menunjukkan kertas undinya melanggar peraturan.

Ini kerana calon itu sendiri yang mendedahkan undinya kepada umum, dan oleh itu Azhar perlu membaca peraturan-peraturan berkaitan terlebih dahulu.

“Yang saya tahu undi adalah rahsia dan kerahsiaan undi seseorang itu orang lain tak boleh pecahkan.

“Tapi kalau dia sendiri nak pecahkan kerahsiaan itu, saya kurang pasti sama ada ia dihalang oleh undang-undang atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan hari ini.

Terdahulu, Bersih 2.0 menuduh Mohamad melanggar undang-undang pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya semasa membuang undi.

Kumpulan pemantau pilihan raya itu dalam kenyataan berkata, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu boleh mempengaruhi orang lain apabila mendedahkan undinya.

Bersih menggesa polis dan SPR bertindak terhadap Mohamad kerana jika tidak ditangani boleh mengalakkan orang lain mendedahkan undi pada pilihan raya akan datang.