Wanita Vietnam dalam pembunuhan Jong Nam bebas 3 Mei

Pendakwa raya menggugurkan tuduhan bunuh terhadap Doan Thi Huong pada 1 April. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Vietnam yang dituduh bunuh abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan dibebaskan pada 3 Mei, kata peguamnya.

Susulan tekanan diplomatik daripada kerajaan Vietnam, pendakwa raya menggugurkan tuduhan bunuh terhadap Doan Thi Huong pada 1 April.

Kemudian, bekas pekerja kedai rambut berusia 30 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan “menyebabkan kecederaan” dan dikenakan hukuman penjara 3 tahun dan 4 bulan bermula tarikh tangkapan pada Februari 2017 dan dikurangkan kerana berkelakuan baik.

Pembunuhan Kim Jong Nam dengan agen saraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengejutkan dunia.

Seoul menuduh Pyongyang merancang pembunuhan itu ketika Malaysia membenarkan orang-orang warga Korea Utara yang mengendalikan 2 wanita itu keluar negara selepas pembunuhan itu.

“Kami diberitahu oleh pihak berkuasa penjara bahawa Huong akan dibebaskan pada 3 Mei,” kata peguam Salim Bashir.

“Huong girang. Dia dijangka akan segera diterbangkan ke Hanoi.”

Bulan lepas, tuduhan terhadap seorang wanita warga Indonesia, Siti Aisyah yang berusia 27 tahun digugurkan.

Dalam perbincaraan yang bermula pada Oktober 2017, mahkamah ditunjukkan rakaman CCTV memaparkan mereka mendekati Kim semasa dia menunggu penerbangannya, dengan salah seorang daripada mereka meletakkan tangan di mukanya, dan kemudian berlari ke bilik air sebelum meninggalkan lapangan terbang.

Pasangan itu bertegas mereka hanyalah bidak tidak bersalah dalam rancangan Korea Utara dan percaya mereka hanya mengusik untuk sebuah rancangan TV.

Mereka boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalaham membunuh.

Peguam mereka berkata dalang sebenar adalah 4 warga Korea Utara yang dilihat berada di lapangan terbang itu pada hari pembunuhan untuk bertemu pasangan itu dan melarikan diri selepas pembunuhan. Mereka dituduh atas pembunuhan itu tanpa kehadiran mereka.

“Jelas Huong berhak mendapat kebebasan ini selepas penahanannya yang lama. Dia tidak sabar untuk bersama keluarga dan rakan-rakannya,” kata Salim.