CEO: Hanya 35 daripada 200,000 kenderaan e-hailing hadir pemeriksaan Puspakom

CEO Puspakom, Shukor Ismail berkata, pemeriksaan kenderaan e-hailing tidak sepatutnya dianggap bebanan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Daripada 200,000 kenderaan e-hailing, hanya 35 buah atau 0.02% yang menjalani pemeriksaan di Puspakom sejak 1 April lepas, kata ketua pegawai eksekutifnya Shukor Ismail.

Katanya, bilangan tersebut agak mengecewakan walaupun kerajaan hanya memberi tempoh sehingga 12 Julai untuk semua pemandu e-hailing menjalani pemeriksaan dengan badan itu bagi mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Mungkin ada yang berasa terbeban sebab nak buat lesen PSV kena jalani latihan, lepas itu kena buat pemeriksaan. Mungkin ada salah faham, terutamanya dalam kalangan pemandu e-hailing baru.

“Ini sepatutnya bukan beban, tetapi sebaliknya menunjukkan keyakinan orang ramai bahawa pemandu e-hailing mematuhi undang-undang,” katanya kepada pemberita di pusat pemeriksaan Puspakom di sini, pagi tadi.

Shukor berkata, pemandu e-hailing perlu sedar bahawa mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjalani pemeriksaan Puspakom menjelang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

“Sebab itu kita mahu pemandu bersedia dalam tempoh sebelum penguatkuasaan lesen PSV dilaksanakan dengan melanjutkan waktu operasi setiap hari di 19 cawangan Puspakom terpilih serta menambah 2 jam operasi, khas untuk e-hailing.

“Segala kemudahan termasuklah aplikasi telefon pintar disediakan. Semuanya bergantung pada pemandu untuk datang segera ke Puspakom, hanya perlu bayar RM70, jangan tunggu terlalu lewat,” katanya.

Daripada 200,000 pemandu e-hailing, 150,000 adalah pemandu sambilan, manakala selebihnya adalah pemandu sepenuh masa.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, beberapa tindakan, termasuk amaran akan dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang beroperasi tanpa lesen PSV selepas 12 Julai depan.

Di bawah peraturan baru, pemandu e-hailing mesti mendaftar dan memiliki lesen PSV, selain memiliki insurans untuk kereta, manakala kenderaan melebihi 3 tahun perlu membuat pemeriksaan dengan Puspakom.