Jangan kecam Songkran, senator Siam tegur PAS

Kawan-kawan dan ahli keluarga akan memercikkan air bagi mengukuhkan hubungan sempena Songkran, kata Aknan Ehtook.

GEORGE TOWN: Seorang senator berketurunan Siam di Dewan Negara hari ini membidas seorang pemimpin Pemuda PAS kerana menggambarkan Songkran, atau sambutan tahun baru Thai, acara yang dipendang rendah oleh orang Islam.

Aknan Ehtook menjelaskan Songkran sambutan keagamaan yang diadakan di wat atau penempatan orang Siam di mana doa-doa untuk Buddha dibaca sebagai menghargai ajarannya.

Beliau meminta Songkran tidak dikaitkan dengan “parti Songkran” yang dianjurkan orang-orang yang tidak beretika untuk mengaut keuntungan.

Aknan merujuk kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Batu Kawan, Nizar Ahmad Tajudin, yang menggelar “konsert Songkran” di sebuah pusat beli-belah “pesta maksiat” yang menyinggung orang Islam yang sedang menanti bulan Ramadan.

Nizar berkata acara di Seberang Perai itu pengkhianatan terhadap sosio budaya dan nilai tatasusila beragama di Malaysia “yang menjurus kepada bala daripada Allah”.

Beliau juga merujuk kepada poster acara itu yang memaparkan deejay memakai pakaian yang terlalu mendedahkan.

Aknan, yang juga presiden Persatuan Siam Malaysia, berkata pihak berkuasa mesti berhati-hati apabila meluluskan acara-acara seperti itu, yang mungkin akan menjejaskan hubungan antara masyarakat.

Beliau berkata semasa Songkran, yang diraikan oleh masyarakat Siam semalam, air wangi dengan kelopak bunga dan harum-haruman dituang ke atas imej Buddha sebagai tanda menghargai ajarannya.

Ini disusuli dengan menuang air itu ke tangan ketua-ketua sami, ibu bapa dan orang-orang tua sebagai tanda hormat.

“Mereka pula akan mendoakan kami,” katanya.

Aknan berkata kawan-kawan dan ahli keluarga dalam perjumpaan itu akan berseronok dengan memercikkan air antara satu sama lain bagi mengukuhkan persahabatan dan kekeluargaan.

“Ada yang kembara merentas Semenanjung untuk pulang ke kampung hanya untuk beraya bersama keluarga dan kawan-kawan.

“Sambutan ini kebiasaannya diadakan di perkarangan wat atau di penempatan Siam. Oleh itu, kami berpakaian sopan bagi menghormati kesucian rumah ibadat,” katanya.

Aknan berkata acara yang diadakan di pusat beli-belah itu tidak ada kaitan dengan Songkran sebenar yang disambut masyarakat Siam.

Beliau berkata PAS Batu Kawan sepatutnya menyampaikan kekecewaannya kepada pihak berkuasa yang meluluskan acara itu jika mendapati ia mengganggu.