Jawatankuasa wujudkan laman e-aduan untuk lapor masalah bauksit Kuantan

(Gambar Bernama)

KUANTAN: Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Pahang akan mewujudkan satu laman sesawang khas e-aduan untuk orang ramai menyuarakan sebarang masalah berbangkit berhubung pelaksanaan aktiviti perlombongan bauksit tidak lama lagi.

Pengerusi Prof Azizan Abu Samah berkata laman berkenaan akan dikendalikan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk memastikan setiap perkara dilaporkan diambil tindakan sewajarnya.

“Satu jawatankuasa pemantau juga akan diwujudkan, terdiri daripada wakil rakyat tempatan, serta agensi yang berkenaan untuk memantau setiap masalah yang dilaporkan menerusi e-aduan ini agar ia dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pendengaran Awam Penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Sesi pendengaran awam itu dihadiri oleh lebih 500 orang terdiri daripada ahli akademik, pengusaha dan pemegang lesen perlombongan bauksit, peneroka-peneroka Felda Bukit Goh, Bukit Sagu dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh.

Mengulas tentang sesi pendengaran awam yang diadakan itu, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan pelbagai reaksi dan makluman yang diberikan oleh orang awam serta ahli akademik semasa sesi bersama orang awam diadakan.

“Semua soalan dan masalah yang dikemukakan kami ambil perhatian. Ada sesetengah masalah yang diutarakan dapat diselesaikan, namun sebahagian lagi pada saya agak getir dan memerlukan perbincangan yang khusus termasuk soal perjanjian antara penduduk Felda Bukit Goh dengan pengusaha perlombongan mineral itu.

“Isu ini agak kompleks dan kita akan lihat lebih teliti bagaimana untuk mengatasi masalah ini sama ada mereka perlu membuat perjanjian baharu atau sebaiknya,” katanya.

Berkenaan draf SOP yang dibuat sebelum ini katanya, ia akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini sebelum disiarkan menerusi laman sesawang KATS dengan beberapa penambahbaikan dilakukan.

“Kita akan bersidang pada 19 April ini dan akan ambil kira apa yang dikatakan orang awam. Pada saya, penyediaan satu-satu SOP perlu dimurnikan dari semasa ke semasa dan tidak boleh statik dari prinsipnya jika kita tidak mahu keadaan kembali seperti dahulu,“ katanya.

Beliau berkata SOP setebal 174 muka surat itu hanya dapat dilaksanakan dengan efektif jika sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan dengan baik dan tegas.

“Penguatkuasaan memang satu masalah bukan sahaja untuk perlombongan bauksit tetapi juga perkara-perkara lain kerana nilai yang ada pada diri kita sendiri, jika kita mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, tidak akan timbul masalah pencemaran sehingga menjejas alam sekitar dan sebagainya.

“Sebenarnya perlombongan bauksit di negara kita bukan satu perkara baharu dan ia telah lama dilakukan di Pengerang, Johor tanpa sebarang masalah terhadap alam sekitar. Isunya bukan anda tidak boleh melombong bauksit tetapi masalahnya bagaimana anda melombong bauksit,” katanya.