Keluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’, Wisma Putra gesa AS

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Indikator “K” seperti diumumkan dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS pada 9 April lalu.

Kementerian Luar Negeri menggesa AS supaya segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai itu dan akan memanggil duta AS untuk memberi penjelasan berhubung nasihat perjalanan baru itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memberitahu indikator itu menunjukkan kebimbangan kerajaan AS terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Kementerian berkata nasihat perjalanan baru itu dilihat kurang objektif dan tidak mencerminkan hakikat sebenar di lapangan, khususnya situasi keselamatan di wilayah timur Sabah yang kekal selamat dan terkawal bagi pelancong.

“Ini bersandarkan kepada fakta bahawa angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5%, iaitu mencecah 3.87 juta tahun lalu. Malah, angka insiden penculikan menurun secara ketara kepada hampir sifar,” katanya.

Menurutnya, kawasan timur Sabah terus menarik penyelam bertaraf dunia dan kejayaan itu hasil langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan seperti meningkatkan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa AS supaya lebih objektif dalam penilaiannya. Kami menggesa AS segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’ itu,” katanya.