Kontraktor minoriti mahu peranan dalam projek ECRL

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan projek ECRL sepanjang 688km disambung semula selepas kos pembinaan bagi 2 fasanya dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion. (Gambar Bernama).

PETALING JAYA: Sebuah dewan perniagaan hari ini menggesa Putrajaya dan syarikat yang terlibat dalam kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula memberi peluang saksama kepada kontraktor dan pembekal tempatan, terutama dalam kalangan komuniti minoriti.

Gesaan itu dibuat walaupun sebuah badan penyelidikan sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai penyertaan syarikat tempatan dalam projek tersebut.

Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) berkata, projek ECRL akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dari segi pekerjaan dan peluang kepada rantaian perbekalan tempatan.

“Semua syarikat tempatan perlu diberi peluang untuk berjaya atau memperkukuh pengalaman mereka melalui projek berskala besar seperti itu,” kata naib pengerusi MBC, Harnarain Singh Gill dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dewan perniagaan itu mempunyai senarai kontraktor tempatan yang berkelayakan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan projek ECRL sepanjang 688km itu disambung semula selepas kos pembinaan bagi 2 fasanya dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd telah menandatangani perjanjian tambahan (SA) bagi pembinaan 2 fasa itu.

Ambank Research bagaimanapun mengekalkan unjuran lemah bagi sektor pembinaan walaupun projek berkenaan disambung semula.

Ia berkata, ini disebabkan kurangan berterusan dalam perbelanjaan infrastruktur awam berikutan langkah berjimat kerajaan dan kelembapan berterusan dalam pasaran hartanah yang menyaksikan wujudnya lebihan penawaran dalam semua segmennya, termasuk kediaman, komersial, ruang pejabat dan unit runcit.

Badan penyelidikan itu mengekalkan unjuran negatif terhadap sektor pembinaan berikutan penyusutan aliran tunai dalam keseluruhan rantaian nilainya.

Ia juga tidak pasti tentang takat penyertaan tempatan dalam projek tersebut atau sekiranya berlaku perubahan pada tahap 30% sebelum ini.