Kumpulan alam sekitar mahu sistem EIA Sabah dirombak

Kampung Timpayasa di Penampang adalah salah satu kampung yang akan menerima kesan daripada pembinaan Empangan Papar.

KOTA KINABALU: Kumpulan alam sekitar di Sabah menggesa sistem Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di negeri itu dijkaji semula berikutan ketiadaan ketelusan dan akauntibiliti di pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitarnya (EPD).

Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (Sepa) dan Kumpulan Petugas Menentang Empangan Kaidun (Takad) memberitahu FMT bahawa EPD tidak mengemas kini laman webnya sejak 2016.

Presiden Sepa, Lanash Thanda berkata, jabatan itu tidak mengemas kini maklumat mengenai projek yang tertakluk kepada kajian EIA berikutan kontroversi beberapa projek berkaitan kerajaan yang diumumkan pada tahun itu.

“Sejak laman web itu tidak dikemas kini, penyertaan orang awam menjadi terhad. Sabah sebelum ini berbangga dengan pengurusan alam sekitarnya menerusi penyertaan awam susulan sistem EIA yang telus.

Lanash Thanda.

“Bagaimanapun semua itu sudah tidak ada lagi,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihak berkepentingan hanya perlu pergi ke perpustakaan EPD bagi mendapatkan maklumat perlu, malah memeriksa terma rujukan (ToR) bagi EIA.

“Tetapi sekarang, surat rasmi perlu dihantar kepada pengarah, yang tidak berminat untuk membalasnya.”

EIA didasarkan pada satu proses yang bertujuan memaklumkan kepada orang awam dan pembuat keputusan tentang kesan kemungkinan sesuatu tindakan bagi menghindari atau mengurangkan kerosakan alam sekitar.

Ia bertujuan menjangka, mengenal pasti dan menaksir kesan sosial, alam sekitar dan ekonomi pembangunan yang dijalankan.

Ia juga bertujuan menyediakan maklumat terperinci mengenai kesan ke atas alam sekitar daripada keputusan yang dibuat dan mengetengahkan pembangunan mapan dengan mengenal pasti langkah alternatif serta pengurangan kesan negatif yang dijangka.

Lanash juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemerosotan tahap akauntibiliti, yang menurut beliau, berpunca daripada kurangnya ketelusan dalam sistem yang ada.

Sungai Papar dikenal pasti oleh kerajaan Sabah sebagai lokasi sebuah empangan baru di negeri itu.

Beliau berkata, panel kajian semula yang menilai EIA perlu bebas daripada konflik kepentingan, sementara ahlinya tidak melibatkan diri dengan pemaju sesuatu projek.

“Agensi yang mempunyai konflik kepentingan juga tidak harus ada dalam panel itu kerana mereka ada konflik.”

Jurucakap Takad, Diana Sipail berkata, kebimbangan beliau bertambah selepas kerajaan negeri memaklumkan bahawa pembinaan Empangan Papar akan dimulakan tahun depan.

“Mana laporan EIA? Mereka tidak boleh gunakan laporan lama kerana kerajaan nampaknya mahu membina empangan tersebut di lokasi lain.”

Diana Sipail.

Diana berkata, selain tidak melibatkan orang ramai, mereka juga tidak menemui terma rujukan laporan EIA tersebut.

“Inilah masalahnya dengan sistem yang ada,” katanya. “Kerajaan boleh terus melaksanakan projeknya biar apa pun kesannya ke atas rakyat dan alam sekitar.”

Diana juga bimbang keadaan itu akan menjadi duluan bagi projek akan datang, termasuk cadangan lombong arang batu yang kontroversi di Lembangan Maliau.

Diana dan Lanash menggesa kerajaan supaya menubuhkan sebuah panel kajian semula bebas dengan anggota yang memiliki pengetahuan teknikal berperanan secara bergilir.

Lanash juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sebuah sistem audit alam sekitar bagi memastikan agensi mematuhi undang-undang, sekali gus meminimumkan risiko konflik kepentingan.

Beliau secara khusus merujuk kepada pegawai EPD, yang sebagai pegawai kerajaan, boleh “ditekan” supaya mematuhi arahan orang atasan mereka, katanya.

“Sabah sebelum ini mendahului pihak lain di negara ini kerana mempunyai sebuah sistem EIA yang berkesan.

“Malangnya sekarang sistem itu rosak sehingga ke tahap mana-mana projek pembangunan yang terlaksana di bawah sistem yang ada itu tidak lagi boleh dilihat sebagai mapan,” kata beliau.

“Tetapi keadaan belum terlambat. Kita masih boleh kembali meletakkan isu alam sekitar di depan dan di tengah-tengah mana-mana projek yang hendak dilaksanakan, sama ada kecil atau besar.

“Terserah kepada kerajaan Sabah untuk menjadikannya kenyataan,” katanya.