Malaysia tak boleh menang perang perdagangan, kata pakar

Denis Murphy dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia berucap di Kuliah Memorial BC Sekhar.

KUALA LUMPUR: Para pakar industri minyak sawit menggesa Malaysia mengelakkan perang perdagangan, dan mengkaji penjenamaan semula, meningkatkan hasil dan memanjangkan hayat pokok sawit.

Denis Murphy, yang mempengerusikan jawatankuasa penasihat biologi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, berkata hasil tanaman tidak berubah selama hampir 20 tahun dan cara baru untuk meningkatkan hasil mesti dicari.

“Kita tak perlu tukar lebih banyak tanah untuk penanaman semula. Kita ada sumber untuk meningkatkan hasil. Tetapi ini tidak berlaku. Industri ini perlu bergerak ke depan,” katanya di Kuliah Memorial BC Sekhar ke-5 hari ini.

Beliau juga menasihatkan Malaysia tidak berperang dengan mana-mana negara dalam isu larangan minyak sawit.

“Anda tak cukup besar untuk menang. Gunakan kebijaksanaan,” katanya.

Murphy seterusnya mencadangkan Malaysia mencari cara memanjangkan hayat pokok sawit supaya ia tidak perlu ditebang setiap 25 tahun.

Beliau berkata memang ada kejadian-kejadian pembasmian hutan di Sabah, Sarawak dan Indonesia untuk penanamam sawit tetapi NGO sekarang ini memasukkan Semenanjung Malaysia dalam senarai pelaku pembasmian hutan.

Murphy juga menggesa industri itu supaya tidak menyasarkan penjualan bahan bakar bio kepada pengusaha kereta di Eropah, kerana kilang-kilang di sana sekarang ini mengeluarkan kereta yang cekap tenaga.

Murphy turut menyeru kepada penjenamaan semula minyak sawit seperti yang Colombia lakukan untuk kopinya.

“Ia kopi mewah, dan boleh kesan dari ladang mana datangnya kopi itu,” katanya, dan menambah langkah itu meningkatkan kepercayaan kepada produk berkenaan.

Forum yang dipengerusikan oleh Mohd Bakke Salleh, timbalan pengerusi eksekutif dan pengarah urusan di Sime Darby Plantations Berhad.

Antara soalan yang ditanya adalah mengenai senario terbaik dan terburuk untuk industri sawit dalam tempoh 5 tahun ini.

Murphy berkata senario terburuk adalah Malaysia akan tercicir daripada pasaran jika ia terus berniaga seperti biasa.

Beliau menyarankan Malaysia berubah dan membentuk kerjasama dengan NGO.

Seorang lagi speaker, MR Chandra, penasihat kanan di 27 Advisory Sdn Bhd berkata, industri itu kekurangan orang yang berwibawa dan mempunyai minat yang mendalam.

“Ramai orang sibuk menguruskan isu pekerja asing,” katanya, sambil menunjukkan satu kajian yang dilaksanakan di Sabah 3 tahun lalu menunjukkan 18% tanaman tidak dituai.

Menteri Perindustrian Utama Teresa Kok kemudian memberitahu pemberita bahawa dia akan mengkaji cadangan mereka.

Beliau berkata kementerian akan menghubungi kerajaan Rusia yang menunjukkan minat untuk menggunakan bahan bakar bio untuk pesawat tentera.

Kok juga ditanya mengenai kebimbangan ramai rakyat yang mengelak daripada menggunakan minyak sawit untuk memasak.

Beliau berkata kementerian akan mengadakan perbincangan dengan para doktor yang mungkin tidak sedar akan manfaat minyak sawit, seperti perlindungan terhadap penyakit jantung, menahan barah dan manfaat lain.