Menteri: Tiada bukti kecuaian berhubung kematian 6 anggota bomba

Dalam kejadian 3 Oktober tahun lepas, 6 anggota bomba menemui ajal ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang dikatakan terjatuh ke dalam sebuah lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tidak terdapat bukti yang menunjukkan Jabatan Bomba dan Penyelamat cuai dalam insiden kematian 6 anggotanya di sebuah lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong tahun lepas.

Beliau berkata, laporan siasatan kematian 6 anggota bomba tersebut dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lepas.

Dalam kejadian 3 Oktober itu, 6 anggota bomba menemui ajal ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang dikatakan terjatuh ke dalam lombong berkenaan.

“Kesimpulannya, pasukan petugas yang ditugaskan untuk menyiasat dan mengenal pasti punca kejadian tidak menemui sebarang unsur kecuaian dan semua prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan dipatuhi semasa operasi dijalankan.

“Pasukan petugas memberitahu, kejadian berlaku kerana anggota bomba terbabit kurang menyedari tentang risiko melibatkan ’empangan rendah’ (low head dam),” katanya selepas melancarkan kempen gotong royong anti-Aedes di Ampang hari ini.

Zuraida berkata, “low head dam” terletak di sebuah kawasan di lombong itu antara sebatang sungai dan sebuah longkang besar.

Katanya, walaupun paras empangan itu rendah, seseorang boleh lemas sekiranya arus kuat.

Zuraida berkata, pasukan petugas juga menyebut tentang “kekeliruan” antara anggota pencari dan penyelamat dengan kakitangan yang memantau operasi.

“Tidak ada punca kuasa tunggal untuk memberi arahan kepada pegawai yang menjalankan operasi kerana beberapa jabatan berada di tempat kejadian, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan merancang mewujudkan sebuah badan pusat bagi menyelaras operasi sedemikian pada masa depan.

Zuraida juga berkata, pasukan petugas juga mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan mengambil langkah pencegahan seperti memasang papan tanda amaran di kawasan “low level dam” yang mungkin berbahaya kepada orang ramai.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mendapatkan khidmat kumpulan profesional tertentu bagi melatih anggota bomba dalam menangani situasi sedemikian, Zuraida berkata, ia akan menimbangkannya.

Anggota bomba yang terkorban dalam kejadian itu ialah Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma Wan Ibrahim, Mazlan Omarbaki, Yahya Ali, Adnan Othman dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari.