Pemuda PKR seru kerajaan rancakkan komunikasi selepas kalah di Rantau

Ahmad Syukri Che Ab Razab. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemuda PKR hari ini menyeru kerajaan merancakkan komunikasi dengan rakyat ekoran kekalahan kali ketiga pada pilihan raya kecil Rantau semalam, mengatakan kekalahan berterusan sejak Cameron Highlands dan Semenyih itu disebabkan oleh kelemahan penerangan.

Setiausaha Pemuda, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata banyak maklumat daripada kerajaan tidak sampai ke akar umbi ketika rakyat sedang marah dengan isu janji manifesto, kos sara hidup dan isu nasional yang diolah pembangkang menjadi isu sentimen perkauman dan agama.

“Persepsi rakyat ini boleh diluruskan kembali jika ada inisiatif penerangan yang agresif, kreatif dan tersusun daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan tinjauan Pemuda PKR ke atas 13 laman Facebook berbahasa Melayu yang paling diikuti di Malaysia, Syukri berkata pihaknya mendapati Jabatan Penerangan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia masing-masing menduduki tangga ke-12 dan ke-13, dengan 310,000 pengikut dan 124,000 pengikut, berbanding Berita Harian di tempat pertama dengan 5.3 juta pengikut dan Harian Metro dengan 5 juta pengikut.

“Ada keperluan untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia segera bertindak dalam memastikan medium komunikasi rasmi berpencak secara aktif di arena digital bagi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat secara lebih berkesan,” katanya.

Syukri berkata Pemuda PKR juga bersedia memberi sumbangan idea dan tenaga bagi memastikan usaha itu dijayakan.