Pengundi India kembali sokong BN antara faktor kemenangan Tok Mat

Mohamad Hasan beramah mesra bersama rakyatnya di sekitar Pasar Rantau sehari selepas menang.

SEREMBAN: Pengundi bukan Melayu, terutama daripada masyarakat India, kembali menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya kecil DUN Rantau antara penyumbang kemenangan bekas menteri besar, Mohamad Hasan.

Menurut maklumat keputusan PRK, BN juga berjaya menawan pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Saga di mana majoriti pengundi berketurunan India, iaitu 68.54% daripada 677 pengundi.

Di situ, BN meraih 310 undi berbanding 234 undi yang diperoleh Pakatan Harapan. Dua calon bebas masing-masing mendapat 2 undi.

Selain Pekan Saga, maklumat juga menunjukkan BN menawan kembali kawasan majoriti bukan Melayu dan campuran seperti Kampung Mambau, Kuala Sawah, Rantau, Angsamas dan Linsum. Pemberita difahamkan kawasan-kawasan ini dulunya dimenangi PH dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum ke-14.

“Orang Melayu menyokong penuh, pengundi Cina, India pun sokong, termasuk pengundi luar yang pulang mengundi,” kata Mohamad Hasan kepada FMT hari ini.

Terdapat 14 PDM di DUN Rantau dan PH, yang bertanding sebagai pemerintah negeri, hanya menang di Bandar Ekar, sebuah kawasan di mana peratusan pengundi bukan Melayu 79.24% dan Melayu 20.76%.

Di situ, PH mempertahankan kedudukannya dengan 982 undi berbanding 644 yang diperoleh BN. Calon bebas Malar Rajaram dapat 12 undi dan Mohd Nor Yassin pula 4 undi.

“Di Pekan Saga, kebanyakan pengundinya India, kita menang. Angsamas juga penduduk campuran, iaitu jumlah orang Melayu dan bukan Melayu sama banyak, kita menang selesa. Di Linsum, orang India dan Cina melebihi orang Melayu, kita menang,” katanya.

Peningkatan sokongan orang India mendapat perhatian Timbalan Presiden MIC, M Saravanan. “Kalau ada yang kalah, hanya sikit sahaja beza,” katanya kepada FMT.

Manifestasi Rantau

Mohamad menegaskan kemenangan BN di Rantau hasil kombinasi pelbagai faktor, terutama sokongan pengundi pelbagai kaum, pengundi muda dan pengundi luar yang pulang ke Rantau.

“Yang saya risau sebelum hari mengundi ialah pegundi luar kerana di Rantau ini jumlah pengundi luar besar tapi ramai balik,” katanya.

“Kita dapat majoriti selesa kerana sokongan semua pihak. Pada awal saya jangka kita akan menang lebih kurang 1,000 lebih majoriti sahaja, tetapi keputusan semalam manifestasi kesatuan penduduk Rantau berbilang kaum,” katanya.

Mohamad menarik perhatian kepada kejayaan BN menawan kembali 6 daripada 7 PDM campuran atau majoriti bukan Melayu yang dimenangi PH pada PRU lepas.

“Cuma satu lagi tak menang, di Bandar Ekar, itupun amat kecil majoriti. Dulu kita kalah hampir 900 lebih tapi kali ini jumlahnya mengecil kepada lebih 300 undi,” katanya.

Mohamad ternyata amat gembira dengan sokongan pengundi muda kerana memberikan majoriti besar kepada BN.

Timbalan presiden Umno itu akui BN amat takut dengan saluran pengundi muda yang tidak pernah dimenanginya sejak dulu.

“Orang muda dinamik. Mereka tidak lihat pada 1 prinsip tapi secara dinamik dan akan berubah mengikut kesesuaian waktu. Trend itu bermula di Semenyih kerana orang muda hari ini kecewa dengan prestasi PH yang gagal tunai janji,” katanya.

BN berjaya mempertahankan DUN Rantau dengan majoriti selesa, 4,510 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad Hasan mendapat 10,397 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, Dr S Streram yang memperolehi 5,887 undi. Malar peroleh 83 undi manakala Nor pula 79 undi.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi 79.3%.

Berikut jumlah undi dan peratusan di 6 PDM kawasan campuran yang ditawan BN daripada PH, termasuk pecahan parti dan kaum:

Pekan Saga

BN = 310
PH = 234
Bebas (Malar) = 2
Bebas (Nor) = 2

Pengundi Melayu (keseluruhan) = 14.06%
Pengundi bukan Melayu (keseluruhan) = 85.94%

Kampung Mambau

BN = 243
PH = 147
Bebas = 4
Bebas = 1

Pengundi Melayu = 54.70%
Pengundi bukan Melayu = 45.30%

Kuala Sawah

BN = 1030
PH = 878
Bebas = 18
Bebas = 9

Pengundi Melayu = 41.75%
Pengundi bukan Melayu = 58.26%

Rantau

BN = 1161
PH = 827
Bebas = 12
Bebas = 11

Pengundi Melayu = 41.4%
Pengundi bukan Melayu = 57.66%

Angsamas

BN = 863
PH = 428
Bebas = 7
Bebas = 6

Pengundi Melayu = 54.13%
Pengundi bukan Melayu = 45.87

Linsum

BN = 574
PH = 493
Bebas = 12
Bebas = 6

Pengundi Melayu = 42.81%
Pengundi bukan Melayu = 57.09%