Perbicaraan Najib bersambung dengan soal balas pegawai SSM

Najib Razak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Najib Razak yang sedang berdepan 7 pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, akan bersambung esok dengan pasukan pembelaannya akan menyoal balas saksi pertama.

Pada 3 April, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 15 April sehingga 10 Mei sebagai tarikh bagi menyambung semula perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan berprofil tinggi itu akan bersambung dengan peguam Harvinderjit Singh menyoal balas saksi pertama Muhammad Akmaludin Abdullah, 35, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada hari pertama perbicaraan, Akmaludin memberitahu mahkamah bahawa SRC International Sdn Bhd, mempunyai modal terbitan RM1 juta semasa ia mendaftar dengan SSM pada 7 Januari 2011 dan semakan terhadap pemegang syer juga mendapati semua sejuta syer dipegang oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Najib, 66, didakwa atas 3 tuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salahguna kedudukan dan 3 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.