PRK Rantau: KDN serah pada polis siasat kumpulan periksa kereta peronda

Muhyiddin Mohd Yassin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan siasatan kepada polis berhubung isu sekumpulan lelaki yang dipercayai bertindak memeriksa sebuah kereta peronda polis semasa pilihan raya kecil DUN Rantau semalam.

Menteri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, semua penyokong parti politik diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

“Berhubung isu beberapa individu yang dikatakan penyokong parti Pakatan Harapan bertindak memeriksa kenderaan polis semasa PRK DUN Rantau, saya ingin menyeru semua pihak supaya patuh kepada undang-undang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, pemangku timbalan ketua polis negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan 1 laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan membolehkan siasatan dijalankan.

“Ia ekoran kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi di mana kumpulan lelaki itu dirakam (video) memaksa 2 anggota polis membuka but MPV polis kerana didakwa membawa lebihan kertas undi semasa PRK DUN Rantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bekata kes tersebut disiasat bawah Seksyen 186 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda maksmum RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 341 kerana menghalang seseorang dengan salah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Hamid menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.

“Sila laporkan kepada polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Rakaman video berdurasi 46 saat itu tular di laman sosial menunjukkan beberapa lelaki menahan kenderaan MPV polis dan memeriksa but kereta namun hanya menemui peralatan keselamatan dan peti ubat.