Rakyat Rantau pilih Tok Mat biarpun berisiko, kata Zahid

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Rantau suatu “mesej” bahawa Pakatan Harapan ditolak pengundi.

Zahid percaya pengundi merasakan mereka “tersalah sokong” pada pilihan raya umum lalu.

“Mohamad juga Adun paling sesuatu untuk rakyat Rantau biarpun mereka berisiko mengundi calon pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Kemenangan BN malam tadi mengekalkan 16 jumlah kerusi pembangkang di Dewan Undangan Negeri, berbanding 20 milik Pakatan Harapan.

Mohamad menang dengan 10,397 undi menewaskan Streram yang meraih 5,887 undi. Calon bebas Malar Rajam raih 83 undi dan Mohd Nor Yassin 79 undi.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata partinya dan PKR menghormati “keputusan rakyat” dan mengucapkan tahniah kepada Mohamad.

Beliau berkata kekalahan itu merupakan peringatan kepada pimpinan PH untuk terus memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup.

“Saya melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata kemenangan BN secara khusus membuktikan beberapa perkara penting, antaranya kerjasama Umno dan PAS adalah gelombang masyarakat yang membesar secara organik.

“Perkara ini sekali gus membenarkan ketakutan serta kebimbangan tentang kebangkitan masyarakat seperti yang dizahirkan oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan khususnya DAP,” katanya dalam kenyataan.

Pencapaian Mohamad merupakan kemenangan ketiga buat BN selepas PRK Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan PRK Dun Semenyih (2 Mac).

Ia merupakan PRK ke-7 selepas pilihan raya umum ke-14, menyusuli PRK DUN Sungai Kandis (4 Ogos), PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept) dan Parlimen Port Dickson (13 Okt), yang semuanya dimenangi PH.