Sahruddin dilantik sebagai menteri besar Johor ke-17

Menteri besar Johor yang baru Dr Sahruddin Jamal menerima watikah pelantikan beliau daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di Johor Bahru pagi ini. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai menteri besar Johor ke-17 pagi ini di Istana Bukit Serene menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan awal minggu ini.

Sahruddin, 43, merupakan pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor sebelum ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kenyataan di laman Facebook mengucap tahniah kepada Sahrudin dan berharap beliau akan memikul tanggungjawabnya dengan jujur, ikhlas dan amanah.

“Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri dan politik,” kata Sultan Ibrahim.

Dilahirkan pada 26 Mei 1975, setiausaha PH Johor itu memiliki ijazah MBBS daripada Universiti Hasanuddin, Makassar Indonesia.

Sebelum menyertai politik, beliau membuka kliniknya sendiri di Bukit Pasir Pagoh.

Berkahwin dengan isterinya Nila Armila Mukdan, yang juga seorang doktor perubatan, pasangan itu mempunyai 3 anak.