Tumpu usaha majukan negeri, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin berharap pentadbiran Johor akan berjalan lancar dan tumpuan sepenuhnya diberi kepada usaha memajukan negeri itu demi kepentingan rakyat susulan peralihan kepimpinannya.

Presiden PPBM itu menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana persetujui pelantikan Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar Johor yang baru seperti yang dicadang pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana memberi panduan, sokongan dan kepercayaan penuh kepada PH Johor untuk mencari muafakat dalam menjayakan peralihan kepimpinan kerajaan negeri.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana berkat muafakat pimpinan Pakatan Harapan di peringkat negeri dan pusat peralihan kepimpinan kerajaan negeri Johor dapat berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Sahruddin atas pelantikan itu dan berharap dapat menjalankan tugas dengan penuh beramanah dan berintegriti.

Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pagi tadi. Beliau menggantikan Osman Sapian.