Adun PPBM mahu DUN Sabah rekod sokong RUU Pindaan Perlembagaan yang tewas di Parlimen

Dewan UndanganNegeri Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PPBM hari ini mencadangkan satu usul tergempar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi merekodkan sokongan negeri ini kepada rang undang-undang pindaan Perlembagaan yang ditolak di Dewan Rakyat baru-baru ini

Masidi Manjun (PPBM-Karanaan) berkata, semua Adun hendaklah bersatu bagi menyokong cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu, dengan menyebut bahawa kritikan terhadap pindaan tersebut hanya bersifat semantik

“Kita dibuai oleh semantik. Bercakap lebih mengenai politik, bukannya melakukan sesuatu yang baik untuk Sabah,” katanya.

Katanya usul tergempar itu akan menjelaskan kepada Adun yang bercakap mengenai rang undang-undang tersebut supaya mereka “mengambil kira pandangan semua anggota Dewan ini”.

Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan Persekutuan 2019 yang bertujuan menyamatarafkan status Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia gagal di Dewan Rakyat minggu lepas.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat 148 undi menyokong yang diperlukan bagi memperoleh majoriti 2/3 untuk meminda Perlembagaan.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengalu-alukan cadangan Masidi.

“Usul itu akan menyemarakkan semangat bagi memenuhi agenda bersama. Ia bukan sahaja akan mengabsahkannya, malah lebih penting, kandungannya akan memajukan perjuangan kita bagi memastikan hak (Sabah) dipenuhi,” katanya.

Katanya, isu itu tidak patut dipolitikkan, dengan menambah bahawa beliau tidak mahu kemajuan terbantut hanya disebabkan semantik.

Menjawab soalan tambahan Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu), Shafie berkata, kerajaan negeri tidak percaya jawatankuasa pilihan Parlimen diperlukan untuk membincangkan pindaan yang dicadangkan itu.

“Ia adalah pindaan Perlembagaan yang mudah. Kenapa perlu ada jawatankuasa untuk pindaan mudah, tetapi bermakna itu?,” soal beliau.

Sementara itu, Saddi Abdu Rahman (Warisan-Sukau) membidas ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin kerana menyertai 59 ahli Parlimen yang berkecuali daripada menyokong rang undang-undang itu.

“Jika orang Sabah tidak menyokong Sabah, lebih baik beliau tinggal di Malaya. Ahli Parlimen pembangkang Keningau (Jeffrey Kitingan) dan Kota Marudu (Maximus Ongkili) menyokong rang undang-undang itu,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih kepada ucapan Yang di-Pertua Negeri.

Jamawi Jaafar (Warisan-Kembong) mendesak Kementerian Belia dan Sukan Sabah supaya menganjur lebih banyak program untuk golongan muda bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai isu berkaitan hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963.