Aktivis sedih pengerusi Suhakam letak jawatan

Razali Ismail dilantik sebagai pengerusi Suhakam pada 2016.

PETALING JAYA: Seorang aktivitis hak asasi terkenal percaya kekecewaan merupakan sebab di sebalik peletakan jawatan Razali Ismail sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hanya 2 minggu sebelum tamat tempoh jawatan beliau.

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong, juga memuji bekas duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu kerana bersedia berdepan dengan kerajaan dalam beberapa isu kontroversi.

Salah satu daripadanya ialah inkuiri mengenai kehilangan orang ng menyaksikan Suhakam menuduh polis terlibat dalam penculikan mereka.

“Keberanian untuk mempertanggungjawabkan Cawangan Khas Bukit Aman atas kehilangan itu adalah sangat penting,” Kua memberitahu FMT.

Dilaporkan hari ini bahawa Razali menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Agong.

“Sudah 3 tahun saya (di Suhakam). Saya fikir saya telah lakukan kerja yang baik. Sekarang saya mahu membuat lebih banyak kerja advokasi.

“Memperjuangkan hak asasi manusia adalah kerja advokasi. Memadailah selepas suatu tempoh.

“Ia tetap satu advokasi. Ia tidak membawa banyak perubahan di bawah,” katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini.

Awal bulan ini, Suhakam merumuskan bahawa Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa.

Kua berkata, Razali pasti kecewa dengan reaksi dingin kerajaan kepada dapatannya mengenai kes orang hilang itu.

Beliau berkata, “pusingan U” Putrajaya berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk DIskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom juga mungkin mengecewakan Razali.

“Ini adalah pengajaran penting untuk kerajaan. Ia mesti melihat Suhakam secara lebih serius dan bertindak atas cadangannya.

“Kalau tidak, anda mungkin dapati orang meletakkan jawatan atau tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya,” kata beliau.

Rama Ramanathan, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pendesak dalam isu kehilangan paksa, turut meluahkan rasa terkejut beliau berhubung peletakan jawatan Razali.

“Razali bertindak atas semangat. Berani bercakap dan melakukan perkara yang dihindari ahli politik apabila beliau bersetuju bahawa Suhakam akan menyiasat kehilangan tersebut,” kata Rama, yang merupakan anggota Badan Bertindak Rakyat mengenai Kehilangan Paksa (CAGED).

Katanya, bekas diplomat itu menginggalkan “legasi hebat” dalam mempromosi hak asasi manusia.

“Hasilnya adalah laporan yang begitu menyeluruh yang akan diiktiraf oleh mana-mana mahkamah hak manusia di dunia ini sebagai contoh komitmen kukuh kepada hak asasi manusia dan kesediaan untuk menyuarakan kebenaran mengenai kerajaan walaupun sukar,” katanya.

Persuruhjaya Suhakam Jerald Joseph juga menyuarakan rasa terkejut beliau berhubung berita peletakan jawatan Razali.

“Tentunya beliau ada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian. Kami akan keluarkan satu kenyataan tidak lama lagi,” katanya.