Batal projek SKIN, Prestariang saman kerajaan RM732 juta

Pada Ogos 2017, PSKIN memperoleh konsesi 15 tahun untuk mereka bentuk, melaksana dan menyediakan kemas kini sistem kawalan sempadan dan imigresen bagi Jabatan Imigresen Malaysia. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSKIN), anak syarikat Prestariang Bhd hari ini memfailkan tindakan undang-undang sebanyak RM732 juta terhadap kerajaan kerana pembatalan sebelah pihak membabitkan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) menerusi ekspropriasi.

Dalam kenyataan hari ini, PSKIN berkata, jumlah yang perlu dibayar adalah mengikut formula berkontrak dalam perjanjian konsesi (CA) yang dipersetujui oleh kerajaan.

“Pihak terbabit telah mengadakan beberapa sesi perbincangan, namun gagal mencapai penyelesaian muktamad bagi kuantum itu.

“Sebagai jalan terakhir, lembaga pengarah Prestariang ketika ini diwajibkan secara fidusial dan terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk pembayaran kontraknya,” katanya.

PSKIN memperoleh perjanjian konsesi selama 15 tahun pada 9 Ogos, 2017 untuk mereka bentuk, melaksana dan menyediakan kemas kini secara berterusan sistem kawalan sempadan dan imigresen yang lebih baik bagi Jabatan Imigresen Malaysia.

Sistem itu akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) sedia ada dengan fungsi tambahan.

Di bawah CA tersebut, PSKIN sepatutnya menerima kira-kira RM3.5 bilion bagi tempoh perjanjian konsesi selama 15 tahun, tertakluk kepada keseluruhan perbelanjaan modal yang dibiayai secara persendirian oleh PSKIN.

Kerajaan hanya perlu membuat pembayaran kepada PSKIN selepas SKIN beroperasi sepenuhnya. PSKIN telah melaksanakan kajian teknikal yang menyeluruh dan kerja berkaitan projek itu sejak 2014 dengan menanggung sejumlah besar perbelanjaan.

PSKIN juga memeterai pelbagai kontrak bersama pihak ketiga untuk melaksanakan projek SKIN. Dalam tuntutan undang-undang itu, PSKIN menyenaraikan obligasi Putrajaya sekiranya projek itu ditamatkan secara sebelah pihak menerusi ekspropriasi.

Prestariang mengulangi pendiriannya bahawa PSKIN tidak pernah ingkar terhadap CA itu. Walaupun perjanjian konsesi itu memakan masa 15 tahun, kerajaan secara sebelah pihak menamatkan CA itu dengan ekspropriasi yang berkuat kuasa 22 Jan, 2019. PSKIN yakin CA itu adalah adil dan munasabah.