Calon Parlimen Belia kecewa daftar pemilih tak dapat sambutan

Program Parlimen Belia boleh disertai golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Calon Parlimen Belia menyuarakan kegusaran terhadap penglibatan golongan muda dalam program tersebut yang disifatkan semakin malap di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Calon Parlimen Belia Selangor, Amin Mubarak berkata, sejak tarikh daftar pemilih untuk program itu dibuka pada 4 April lalu, sambutan daripada golongan belia masih rendah.

Katanya, situasi itu berkemungkinan berpunca daripada sikap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak memberikan peranan yang memuaskan dalam mempromosikan program itu kepada golongan tersebut.

Tambahnya, sehingga kini, KBS masih belum tampil dengan penjelasan kukuh berhubung hala tuju dan reformasi Parlimen Belia di bawah Malaysia Baru.

“Timbalan menteri KBS (Steven Sim Chee Keng) pernah mencanangkan Parlimen Belia kali ini bukanlah Parlimen olok-olok.

Calon Parlimen Belia Selangor, Amin Mubarak.

“Namun, beliau masih belum menjelaskan bentuk dan corak mekanisme reformasi yang cuba dibawa oleh KBS itu,” katanya kepada FMT.

Amin juga mempersoalkan, sejauh mana KBS berhasrat membawa agenda belia melalui program tersebut.

Katanya, hasil tinjauan calon Parlimen Belia mendapati, golongan itu gagal mendaftar sebagai pemilih disebabkan sistem mendaftar yang terlalu kompleks dan menyusahkan.

“KBS perlu mencari jalan lain yang sesuai untuk memudahkan golongan muda mengakses dan mendaftar sebagai pemilih Parlimen Belia,” katanya.

Terdahulu, satu kajian mendapati, program Parlimen Belia di bawah seliaan KBS hanya mendapat perhatian 20% daripada 13.88 juta golongan muda negara ini.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2018 itu menyebut sebanyak 2.7 juta daripada 13.88 juta golongan belia yang mendaftar sebagai pemilih Parlimen Belia.

Bekas ahli Parlimen Belia, Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali.

Bekas ahli Parlimen Belia, Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali menyifatkan keputusan KBS menurunkan tahap umur pemilih kepada 18 hingga 25 tahun sebagai keputusan yang tergesa-gesa.

Jelasnya, golongan belia umur 18 tahun masih belum mahir berbicara tentang kepimpinan, terutamanya perihal program Parlimen Belia.

“Mereka masih lagi tercari-cari rentak hanya untuk menjadi pelajar sekolah yang baik, bukan untuk menjadi pemimpin masyarakat terutama kepada orang muda.

“Kesedaran tidak seiring dengan pelaksanaan program. Sebab itu sambutannya kurang,” katanya.