CCCC setuju pulangkan sebahagian RM3.1 bilion pendahuluan ECRL

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, kontraktor utama projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju memulangkan sebahagian daripada bayaran pendahuluan RM3.1 bilion.

Perdana menteri berkata, bayaran itu untuk fasa 2 ECRL, landasan berkembar dan sambungan bahagian utara di bawah perjanjian asal.

Katanya, RM500 juta akan dibayar balik dalam masa seminggu dari 12 April dan RM500 juta lagi dalam masa sebulan dari 12 April, menjadikan keseluruhannya RM1 bilion.

“Bakinya akan diselesaikan dalam masa 3 bulan, selepas potongan bagi tuntutan yang disahkan akibat kerja abortif, penggantungan dan pembatalan sambungan bahagian utara,” katanya dalam sidang media mengenai projek itu di sini, hari ini.

Mahathir berkata, jumlah pinjaman dari Export-Import Bank of China (China Exim Bank) akan berkurangan berdasarkan perjanjian tambahan yang dimeterai antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC, minggu lalu.

Beliau berkata, jumlah pengurangan itu, termasuk kadar faedah yang masih dirunding bersama China-Exim Bank.

Katanya, kos keseluruhan projek di bawah perjanjian asal ialah RM66.7 bilion dan pinjaman bank berjumlah RM56.7 bilion berdasarkan 85% kos projek itu.

“Kami membayangkan ini akan mengurangkan beban kewangan kerajaan dari segi jumlah pembayaran semula, kos faedah dan yuran lain. Bayaran semula projek akan dibuat mengikut kemajuan projek.”

Jumaat lalu, Putrajaya mengumumkan kos pembinaan fasa 1 dan 2 projek ECRL yang berharga RM65.5 bilion dikurangkan sebanyak 32.8% atau RM21.5 bilion.

Kerajaan Pakatan Harapan menggantung projek itu sejak Julai 2018 disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi.

Wakil khas perdana menteri, Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan ECRL dengan China dilaporkan berkata, jajaran baru projek itu dikurangkan 40km daripada 688km kepada 648km dan beberapa stesen, termasuk Gombak dibatalkan.

Bagaimanapun, katanya, jajaran itu akan disambung ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Hari ini, Mahathir berkata, penglibatan anak tempatan dalam kerja awam ECRL dinaikkan kepada 40% berbanding 30% dalam perjanjian asal.

Katanya, CCCC bersetuju menyertai operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui penubuhan sebuah syarikat usaha sama antara MRL dan CCCC pada kadar 50:50.

“CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas pembinaan projek itu siap. Kerjasama ini akan meringankan beban kewangan Malaysia.

“Sebelum ini, kos operasi dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya Malaysia. Malaysia boleh memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan dimiliki CCCC, sekaligus meningkatkan tahap daya maju jangka panjang ECRL.

“Kami yakin pembabitan CCCC akan menarik dan memacu pelaburan di sepanjang koridor laluan kereta api itu, khasnya dari China.”

Pengerusi PH itu berkata, tarikh akhir menyiapkan projek itu disemak semula dari 30 Jun 2024 kepada 31 Disember 2026.