Filem Upin & Ipin peroleh RM25 juta dalam masa 21 hari

Gambar Bernama.

Filem Animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal setakat ini telah mengatasi filem animasi antarabangsa, Incredibles 2.

Dengan memperoleh RM25 juta selepas 21 hari tayangan, ia sekaligus meletakkan filem animasi tersebut adalah kutipan paling tinggi di pawagam tempatan.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berbangga filem yang mula ditayangkan pada 21 Mac lalu mampu mencatat kutipan tinggi dalam tempoh tiga minggu.

“Kutipan filem animasi tertinggi sebelum ini diraih Incredibles 2. Jumlah pungutan adalah sama tetapi selepas filem berkenaan ditayangkan tiga bulan. Sebaliknya, kita berjaya meraih kutipan RM25 juta dalam tempoh 21 hari.

“Pasti saya berbangga kerana kami dapat menghasilkan karya yang bagus dan digemari setiap peringkat umur.

“Bukan hanya kanak-kanak, malah ibu bapa menontonnya berulang kali. Saya dapat tahu ada yang pergi menonton antara empat hingga lima kali,” katanya.

Burhanuddin berkata, kos penerbitan filem terbabit adalah hampir RM20 juta, menjadikan ia filem animasi termahal di Malaysia menggunakan sepenuhnya kepakaran tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penonton tegar filem Upin & Ipin tidak ramai, iaitu antara 200,000 hingga 300,000 orang sahaja.

“Jadi jika hendak mengharapkan mereka saja, kita tidak mampu mencapai pulangan modal. Audiens yang berulang kali menonton inilah yang banyak membantu.

“Terima kasih atas sokongan peminat tempatan yang memilih menonton di pawagam dan mengelak membuat rakaman untuk dimuat naik di laman sosial,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]