JAIS akan siasat forum ‘Wanita Muslim dan Tudung’ dengan adil, kata pejabat menteri

Program itu dikatakan berkisar perkongsian pengalaman seorang wanita bertudung yang menemui dunia baru tanpa tudung dan mendapat maklum balas negatif daripada netizen.

KUALA LUMPUR: Program pelancaran buku dan forum mengenai “Wanita Muslim dan Tudung” yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, akan disiasat secara adil dan sebaiknya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diambil maklum dan dipandang serius.

“Pihak menteri telah berhubung dengan JAIS memandangkan perkara ini berada dalam bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri kerana program ini diadakan di Selangor.

“Difahamkan pihak JAIS telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan dalam tindakan mereka. Menteri yakin dan percaya pihak JAIS akan menjalankan siasatan terhadap perkara ini dengan adil dan sebaiknya,” kata kenyataan itu.

Carian di Twitter mendapati program itu berkisar perkongsian pengalaman wanita bertudung sebelum menemui dunia baru tanpa tudung yang dilihat mendapat maklum balas negatif daripada netizen.