JAS lulus Lebuhraya PIL 1 dengan 56 syarat

Chow Kon Yeow (berdiri) dalam sesi soal jawab PIL 1 di Arena Spice, Bayan Lepas, tahun lalu.

GEORGE TOWN: Jabatan Alam Sekitar memberi kelulusan bersyarat kepada projek pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang melalui bukit-bukau di Pulau Pinang, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Katanya, kelulusan itu diberikan kepada lebuh raya sepanjang 19.5km itu pada 10 April lalu yang disertakan 56 syarat dan pembinaan dijangka dimulakan menjelang pertengahan tahun depan.

“Kerajaan Pulau Pinang menganggap ini ialah detik penting bagi projek itu.

“Ia adalah peristiwa penting bagi negeri ini dalam wawasan untuk menangani keadaan trafik di pulau melalui inisiatif meningkatkan kemudahan pengangkutan,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Lebuhraya 6 lorong itu terdiri daripada 7.6km jalan ditinggikan dan 10.1km terowong melalui Bukit Bendera yang menghubungkan Persiaran Gurney di timur laut dan lapangan terbang di tenggara.

Pengguna lebuh raya itu boleh tiba di lapangan terbang dari Persiaran Gurney dalam masa 15 minit.

Projek berharga RM7.5 bilion itu dikritik pencinta alam yang bimbang ekosistem sensitif di pulau itu akan musnah.

Projek itu akan dibiayai melalui pembinaan 3 pulau buatan di selatan Pulau Pinang yang masih menunggu kelulusan, dan kemudiannya dilelong kepada pihak berminat.

PIL 1 ialah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merangkumi beberapa lebuh raya, laluan Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam 20 hingga 30 tahun pada kos RM46 bilion.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang dilaporkan berkata, ia akan memulakan PIL 1 dan LRT laluan Komtar-Bayan Lepas sebelum projek lain.

PTMP akan dilaksanakan SRS Consortium Sdn Bhd, usaha sama antara Gamuda Bhd dan firma pembangunan hartanah Pulau Pinang, Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd serta Ideal Property Development Sdn Bhd.