Kerajaan tidak bercadang tetap tempoh hayat kenderaan, kata Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini menafikan bahawa kerajaan akan melaksanakan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) walaupun ada kajian dibuat mengenai perkara itu sebelum ini.

Malah kata beliau, kerajaan tidak bercadang untuk menimbang pelaksanaan dasar tersebut yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan sebelum dapat memperbaharui insurans dan cukai jalan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana selain belum ada dasar seperti ELV, kerajaan juga tidak bersedia menimbang dasar seperti itu,” katanya.

Loke mengulas laporan akhbar berbahasa Cina yang memetik kenyataan ketua pegawai eksekutif Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Madani Sahari bahawa kerajaan dijangka mengumumkan semakan dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini dan mempromosikan ELV.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Jabatan Perngangkutan Jalan (JPJ) ke-73 di sini, Loke berkata, dasar semasa ialah mewajibkan semua jenis kenderaan tanpa mengira usia, menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer sekiranya gagal memperbaharui cukai jalan melebihi tempoh setahun.

Ini sebahagian proses mengaktifkan semula cukai jalan dan insurans, katanya.

Loke juga berkata, sistem ujian memandu kenderaan “e-testing” yang kini dijalankan secara percubaan di 3 institusi pemanduan di Johor akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

“E-testing” lebih telus kerana pelajar dinilai tanpa campur tangan manusia dengan sistem dipantau menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan tanpa anggota JPJ perlu berada di sebelah pelatih, katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, pelaksanaan projek rintis JPJeBid dilaksanakan selama 5 hari bermula hari ini dengan menjadikan siri “FC” Putrajaya sebagai perintis untuk membida nombor pendaftaran kenderaan dalam talian.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh mendaftar melalui portal www.JPJeBid.gov.my dan pemenang akan diumumkan pada 12 tengah hari, Sabtu ini.