‘Ladies Night’ bakal tarik lebih ramai wanita ke stadium Selangor

‘FAS Ladies Night’ bagi menghargai kaum wanita yang meminati bola. (Gambar faselangor.my)

Jangan ingat lelaki sahaja tahu mengenai bola tapi ada juga sesetengah wanita yang lebih cekap mengenai selok belok berkenaan bola.

Jadi tidak hairanlah jika pelbagai kempen yang dilakukan untuk menarik wanita turut serta dalam apa jua permainan yang berkaitan dengan bola.

Dan inilah yang dilakukan oleh beberapa kelab Liga Super dan Liga Premier yang mula melancarkan beberapa kempen bagi menghangatkan lagi Liga Malaysia.

Antara contoh kempen yang berjaya memberikan impak adalah seperti kempen Zero Waste (JDT), Satu Penyokong Satu Bendera (JDT, Kedah), Solat Jemaah Di Stadium (JAIS) dan juga kempen berkongsi kereta (carpool) ke stadium oleh FA Selangor.

Untuk perlawanan Piala FA kali ini, pasukan Red Giants ini sekali lagi melancarkan kempen terbaru mereka yang dikenali sebagai kempen #FASBeliJiwa ataupun lebih dikenali dengan panggilan FAS Ladies Night.

FAS Ladies Night – Malam beli jiwa wanita!

Istilah Ladies Night atau ‘malam wanita’ cukup popular sebagai malam menghargai wanita di kelab hiburan dengan menawarkan diskaun istimewa untuk pelanggan wanita mereka.

Di Stadium Shah Alam lain pula ceritanya, melalui penyataan khas di laman web rasmi mereka, faselangor.my , pihak pengurusan Selangor FA telah mengambil inisiatif yang sama untuk menghargai peminat wanita Red Giants.

“Kami di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa kami juga menghargai penyokong-penyokong wanita Red Giants di luar sana dengan menganjurkan FAS Ladies Night.

“Apa itu FAS Ladies Night? “FAS Ladies Night” ataupun kami gelarkan “Malam Beli Jiwa” ini adalah satu inisiatif yang dijalankan oleh FAS untuk menarik lebih banyak peminat daripada golongan wanita untuk turun ke stadium,” menurut laman web faselangor.my .

FA Selangor juga telah mengumumkan bahawa mereka akan memberi kemasukan percuma untuk kaum Hawa bagi menyemarakkan lagi sokongan mereka kepada pasukan.

“Jadi, kami memutuskan untuk memberikan kemasukan percuma untuk golongan wanita untuk masuk ke Stadium Shah Alam bagi menonton perlawanan Piala FA menentang Felda United pada hari Selasa ini,” katanya.

Terdapat beberapa langkah mudah yang perlu penyokong wanita Selangor FA lakukan untuk menikmati faedah ini.

Pertama, mereka perlu memuat naik gambar anda di Instagram, Facebook ataupun Twitter dan tag @faselangor berserta hashtag #FASBeliJiwa.

Kemudian mereka hanya perlu menunjukkan bukti gambar tersebut yang sudah dimuat naik kepada petugas yang memeriksa tiket dan sebelum dibenarkan masuk secara percuma.

Tawaran Hadiah Jersi

Pihak FAS juga menyatakan yang mereka akan mengadakan Jersi Giveways khas untuk penyokong wanita mereka, namun butirannya masih belum dijelaskan.

“Nak tahu macam mana nak menang jersi Selangor? Pastikan anda tidak terlepas pengumuman daripada kami dalam masa terdekat,” menurut penyataan rasmi di laman web rasmi FA Selangor.

Kami berharap agar kempen untuk menarik lebih ramai penonton ke stadium seperti ini bakal diikuti oleh pengurusan kelab-kelab lain di Malaysia untuk memeriahkan lagi arena bola sepak Malaysia.

Sumber semuanyabola.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]