Lulusan universiti bimbang peluang pekerjaan kurang

Lambakan graduan lulusan universiti menyebabkan majikan lebih memilih ketika proses pengambilan pekerja. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pelajar dan graduan universiti menyatakan kebimbangan mereka bagi mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian kerana persaingan ketika ini dianggap cukup sengit.

Tinjauan FMT di Pameran Kerjaya Mega baru-baru ini mendapati golongan terbabit sukar memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Seorang pelajar universiti, S Reachanarani, 21, berkata melanjutkan pelajaran di peringkat universiti bukan lagi perkara asing menyebabkan majikan lebih memilih ketika proses pengambilan pekerja.

“Sekarang lulusan universiti ada di mana-mana. Sebab itu ada graduan menganggur disebabkan majikan akan melihat kemahiran tertentu, selain daripada kelulusan.

S Reachanarani.

“Syarikat pula penuh dengan pekerja berpengalaman dan peluang pekerjaan jadi terhad. Sepatutnya graduan diberi peluang supaya mendapat pendedahan sewajarnya, kalau tidak membazir sahaja bayar mahal semata-mata untuk mendapatkan satu sijil,” katanya.

Pelajar tahun akhir, Alex Arul, 22, berkata dia memilih industri perbankan kerana mendapati industri tersebut memerlukan pekerja yang ramai.

“Saya mencari dan memilih industri yang memerlukan pekerja ramai. Sebab itu saya belajar bidang perbankan dan setakat ini banyak peluang pekerjaan di sektor ini.

“Ini juga bagi mengelak daripada situasi, di mana saya belajar dalam satu bidang tapi akhirnya tak dapat pekerjaan dan terpaksa mencari kerja di bidang berlainan dengan apa yang dipelajari,” katanya.

Alex Arul.

Graduan kejuruteraan, Amar Mohd, 26, berkata dia mengalami kesukaran mencari pekerjaan baru selepas mendapati banyak pekerjaan tidak sesuai dengan kelulusannya.

“Saya belajar kejuruteraan selama 4 tahun tapi setakat ini bidang yang mempunyai banyak peluang pekerjaan adalah pengurusan dan sumber manusia.

“Ada juga bidang kejuruteraan tapi jawatan yang ditawarkan ada spesifikasi tertentu. Peluang nak dapat agak tipis. Pelajar dan graduan tiada pilihan selain daripada berusaha keras mencari pekerjaan,” katanya.

Amar Mohd.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia mendedahkan jumlah tenaga kerja siswazah meningkat daripada 23.5% pada 2010 kepada 28.3% pada 2017.

Ini termasuk antara 2010 hingga 2017, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata beliau mengambil maklum isu peluang pekerjaan dan pengangguran malah akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani perkara itu.

“Kementerian mengambil serius tentang isu kebolehpasaran graduan,” katanya.