Mahkamah diberitahu AmBank beri maklumat akaun Najib ketika siasatan BNM

Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini pada hari ke-2 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu 8 dokumen, termasuk 4 akaun Ambank milik Najib Razak diambil dari AmBank cawangan Jalan Raja Chulan bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia.

Pengurus BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata, dokumen itu diperolehi susulan penggeledahan di lokasi itu pada 6 Julai 2015 bagi mendapatkan senarai akaun berhubung obligasi pelaburan.

Azizul Adzani yang dilantik sebagai pegawai penggeledahan ketika itu, berkata beliau menemui Pengurus Cawangan AmBank terbabit, R Uma Devi dan memaklumkan senarai akaun yang diperlukan BNM bagi tujuan siasatan.

“Puan Uma Devi mendapatkan semua dokumen yang saya nyatakan dan setelah meneliti dokumen-dokumen tersebut, saya mencatatkannya dalam senarai geledah,” kata saksi ke-2 pendakwaan itu sambil menambah beliau pergi ke cawangan AmBank itu bersama 3 lagi pegawai BNM.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim pada hari ke-2 perbicaraan kes Najib berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi itu berkata, dokumen lain ialah 3 akaun SRC dan satu akaun Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Menjawab soalan Suhaimi berkaitan tujuan saksi itu mencatat dokumen diperolehi dalam senarai geledah, Azizul Adzani berkata, ia untuk merekodkan dokumen yang diambil BNM bagi tujuan siasatan.

Beliau turut mengenal pasti dan mengesahkan dokumen terbabit yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Najib, 66, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan dan pejabat perdana menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Februari 2015.

Perbicaraan di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.