Masak lemak cili padi daging salai keistimewaan Pekan Rantau

Restoran Kak Zizah satu-satunya sediakan masak lemak cili padi di Pekan Rantau

Setiap kali kita makan masak lemak cili padi pasti negeri yang akan terlintas di fikiran kita tentulah Negeri Sembilan yang sememangnya terkenal dengan masakan yang pedas dan berlemak itu.

Tambahan pula dengan pelbagai jenis daging salai termasuklah ikan keli yang turut disalai pastinya membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya pasti terliur.

Bagi penduduk di Pekan Rantau, Negeri Sembilan, Restoran Kak Zizah pasti menjadi tumpuan memandangkan ia adalah satu-satunya restoran yang menyediakan pelbagai jenis masak lemak cili padi di kawasan itu.

Bagi pengusaha restoran itu, Nor Azizah Abdul Hamid, 66, antara tarikan yang ditampilkan hingga membuatkan pengunjung tidak putus berkunjung ke kedainya sebaik sahaja semua lauk siap dimasak adalah semua bahan asas hendaklah disalai terlebih dahulu.

Rendang ayam yang pastinya membuatkan memenuhi citarasa semua
Masak lemak cili padi ikan Baung antara menu istimewa restoran Kak Zizah
Masak lemak cili padi ayam salai pastinya mengiurkan sesiapa yang melihat

“Saya masak hidangan masak lemak cili api guna resepi temurun dari emak saya. Ia adalah resepi rahsia keluarga kami,” katanya ketika ditemui.

Berkongsi keistimewaan perniagaan masak lemak cili padi yang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk setempat, malah ada juga orang luar kawasan yang datang ke situ semata-mata untuk makan di kedainya sejak lebih 20 tahun lalu, katanya kebiasaannya kesemua lauk akan siap dimasak seawal 10 pagi.

Mee Soto antara menu sarapan pagi
Lontong juga antara menu pagi yang ditawarkan di restoran Kak Zizah
Masak lemak cili padi ikan keli salai antara menu yang paling laris disebabkan kesedapan yang tidak terhingga

“Semua lauk akan habis dijual seawal jam 1.00 tengah hari. Pukul 3.00 petang, kami dah tutup kedai, sebab semua lauk dah habis dijual,” katanya lagi.

Antara menu yang disediakan adalah masak lemak ayam, masak lemak daging, masak lemak ikan keli dan masak lemak ikan baung – semuanya disalai dahulu.

Jelas Kak Zizah, tempoh paling minimum, produk yang disalai memakan masa 1 hingga 4 jam.

Lauk pauk mula dijual seawal 10 pagi setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad

Maksimum, ada juga yang mengambil masa hingga 24 jam.

“Istimewanya produk salai, ia boleh disimpan lama,” kata Kak Zizah.

Masak lemak pula, katanya, mesti kena dengan ‘jodoh’nya.

“Contohnya, masak lemak daging, kena dengan rebung dan pucuk ubi tempoyak. Kalau tak kena, tak sedap,” katanya.

Siti Aisyah membuat demostrasi masak lemak cili padi

Selain daripada elemen resepi dan tempoyak, kedai makan Kak Zizah turut menhidangkan makan pagi dan makan petang.

Antranya, lontong, mee soto dan soto.

Bagi mereka yang hanya makan sayur-sayuran bolehlah mencuba mee rojak

Manakala hidangan untuk waktu petang seperti kuih muih dan rojak mee.

Kata Kak Zizah, selain ia resepi warisan turun temurun, ia juga berpotensi dijadikan produk pelancongan yang sekaligus menaikkan nama Pekan Rantau itu.

Apatah lagi, kedai makannya yang terletak betul-betul di tepi jalan utama Pekan Rantau – Silliau merupakan laluan yang turut digunakan pengguna untuk ke Seremban dan Labu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]