MB baru perlu jadi jambatan Putrajaya dan istana Johor, kata penganalisis

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyerahkan surat tauliah pelantikan menteri besar Johor ke-17 kepada Sahruddin Jamal di Istana Serene, semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berkata, cabaran terbesar Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar Johor yang baru ialah menjadi penghubung antara Putrajaya dan istana bagi memastikan dasar serta perancangan kerajaan pusat untuk negeri itu berjalan lancar.

“Jika berlaku pertembungan antara kerajaan pusat dan istana Johor dalam perkara tertentu, menjadi tugas beliau untuk memperlihatkan diri beliau sebagai wakil kepada rakyat,” katanya kepada FMT hari ini.

Sahruddin, 43, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, dilantik sebagai pengganti Osman Sapian semalam, susulan peletakan jawatannya pada 8 April lalu.

Kelmarin, Osman dilaporkan berkata, Sultan Ibrahim menetapkan syarat untuk penggantinya melakukan rombakan exco.

Susulan itu, Sahruddin dilaporkan berkata, barisan exco baru akan dilantik dalam tempoh 14 hari.

Kamarul Zaman berkata, tugas pertama Sahruddin ialah melakukan rombakan exco berdasarkan suara 4 parti sekutu dalam Pakatan Harapan, tetapi pada masa sama tidak bertentangan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai pandangan sendiri serta tegas dalam isu tertentu.

“Rombakan biasanya akan menimbulkan ketidaksetujuan pihak tertentu, tetapi beliau ada masa depan yang cerah, jika tidak mendapat tentangan parti-parti rakan dalam PH.

“Dengan usia beliau yang masih muda, kelayakan akademik yang bagus dan imej yang masih bersih, beliau menjadi harapan untuk membawa kemajuan kepada Johor.”

Beliau tidak terkejut dengan pelantikan Sahruddin yang merupakan calon pilihan PPBM, tetapi memuji kesediaan Sultan Johor bersetuju melantik Sahruddin dalam tempoh singkat bagi mengelakkan timbul isu lain.

“Untuk itu, kredit perlu diberikan kepada Sultan Johor kerana tidak menggunakan kuasa, budi bicara beliau secara sewenang-wenangnya, walaupun pada awalnya disebut (Sultan Ibrahim) memberi beberapa syarat.”

Kemampuan Sahruddin

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan tidak menjangkakan rombakan besar-besaran ke atas barisan exco negeri itu.

“Ikut Sahruddinlah untuk bekerja dengan siapa yang beliau rasa selesa,” katanya kepada FMT.

Beliau dan seorang lagi exco Johor, Jimmy Puah Wee Tse yakin dengan kemampuan Sahruddin mentadbir negeri itu, walaupun Adun Bukit Kepong itu masih muda.

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat pula yakin beliau akan kekal dengan jawatannya dan kepimpinan baru akan meneruskan usaha serta dasar yang dilaksanakan Osman.