NGO gesa Maszlee tangani masalah air di kuarters guru

Penghuni terpaksa menggunakan paip yang disambung pada tangki air pada trak pikap bagi membekalkan air ke unit mereka di kuarters guru di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sebuah NGO pengguna di Sabah menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik campur tangan bagi menangani masalah penghuni kuarters guru di Bukit Padang yang tiada bekalan air sejak 3 minggu lalu.

Jabatan Air Sabah terpaksa memotong bekalan air di Kuarters Institut Pendidikan (KIP) itu berikutan kegagalan pejabat pendidikan melunaskan tunggakan sebanyak RM700,000.

Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) berkata, kebanyakan 200 penghuni terjejas akibat tindakan tersebut ialah pengetua dan guru sekolah kerajaan.

“Ini menimbulkan gangguan dan penderitaan kepada penghuni yang terpaksa mengambil air dari masjid dan stesen minyak berdekatan, dan membawanya ke pangsapuri 4 tingkat tanpa lif 2 kali sehari,” kata Setiausaha Agung CFOS, Hashima Hasbullah Yahya.

Katanya, penghuni bersama CFOS merayu kepada Maszlee kerana mereka sudah penat mengadu mengenai masalah itu, termasuk menghubungi jabatan pendidikan negeri dan Biro Aduan Awam.

Beliau mendakwa, beberapa kali percubaan menghubungi pegawai yang bertanggungjawab juga gagal, sementara e-mel mereka tidak dijawab.

Hashima berkata, CFOS difahamkan beberapa perbincangan dengan jabatan pendidikan berlangsung sejak jabatan air menyedari pejabat pendidikan berhenti membayar bil air secara pukal sejak 2017.

Katanya, siasatan CFOS mendedahkan surat arahan daripada bekas pengarah pendidikan negeri, Maimunah Suhaibul, bertarikh 20 September 2018, meminta setiap unit pangsapuri membayar RM30 sebulan di samping deposit RM100 untuk membayar tunggakan terkumpul.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, bayaran itu dinaikkan kepada RM230 dan ke atas pada bulan-bulan seterusnya tanpa arahan rasmi.

“Kadar bayaran berbeza setiap blok. Sesetengahnya diminta membayar hingga RM300 sebulan dan ramai tidak diberi bukti pembayaran. Ini menyebabkan sebahagian mereka terus berhenti membayar,” katanya.

Hashima berkata, jabatan air sepatutnya mengeluarkan peringatan untuk memastikan bil segera dibayar, berbanding “menunggu tunggakan melonjak”.

Katanya, paip air juga bocor, tanpa ada tindakan diambil daripada pihak berkuasa walaupun dimaklumkan.

Dalam satu kenyataan, jabatan pendidikan berkata langkah sedang diambil untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kementerian Pendidikan telah menyalurkan peruntukan kepada jabatan kerja negeri untuk membaiki sistem paip seberapa segera.

“Jabatan pendidikan negeri juga akan memperbaiki sistem kutipan dan pembayaran bagi penghuni kuarters KIP,” katanya.

Ia juga akan membekalkan air kepada penghuni pada kadar mampu bayar.