Nota inkues kematian Ivana Smit akan diserah kepada Mahkamah Tinggi

Model Belanda, Ivana Smit. (Gambar Instagram)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner perlu menyerahkan keseluruhan nota prosiding inkues kematian model Belanda Ivana Smit kepada Mahkamah Tinggi, kata peguam keluarga SN Nair.

Mahkamah Tinggi selepas itu akan menetapkan tarikh pengurusan kes bagi mendengar permohonan Nair untuk menyemak keputusan koroner Mahyon Talib pada 2017 bahawa kematian Ivana adalah “nahas”.

“Mahkamah Koroner masih mengumpul dan menyelaras (penyerahan) nota perbicaraan kepada Mahkamah Tinggi.

“Tarikh itu akan ditetapkan hanya apabila nota itu diserahkan,” Nair memberitahu FMT.

“Memandangkan tidak diketahui bilakah nota ini siap, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tarikh pengurusan kes lain pada 27 Mei, katanya.

Nair, yang bertindak sebagai pemerhati bagi pihak keluarga Smit dalam inkues selama 5 bulan itu berkata, penangguhan adalah perkara biasa sebelum tarikh pengurusan kes ditetapkan.

“Lihat berapa hari prosiding ini berjalan dan keterangan berapa orang saksi yang kita dengar.

“Semua keterangan ini perlu disalin,” katanya.

Inkues itu mengambil masa 21 hari dari Ogos hingga Disember tahun lalu dengan 22 saksi memberi keterangan.

Menurut Nair, hakim Mahkamah Tinggi akan memanggil beliau dan timblan pendakwa raya semasa pengurusan kes untuk membuat keputusan berhubung perbicaraan seterusnya.

Smit, 18, ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian di anjung unit di tingkat 6 kondominum CapSquare Residence, dekat Jalan Dang Wangi, di sini.

Dia dipercayai jatuh dari unit di tingkat 20 di mana dia tinggal dengan pasangan Amerika-Kazakh Alex Johnson dan Luna Almaz.

Alex dan Luna, yang mengaku tidak bersalah dalam kes tersebut, kini dipercayai tinggal di AS.

Polis ada awalnya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, satu inkues diadakan tahun lalu untuk mengenal pasti fakta kes dan bagaimana Smit meninggal dunia selepas keluarganya mempersoalkan kematian beliau dan sama ada terdapat percubaan polis menutup kes itu.

Pada 8 Mac, Koroner Mahyon Talib memutuskan kematian Smit pada 7 Disember 2017 sebagai “nahas”, yang mengisyaratkan Smit mati akibat kemalangan yang berpunca daripada kecuaian sendiri dan tidak melibatkan orang lain.

Keputusan itu dipersoalkan oleh keluarga Smit dan Nair, yang menganggapnya sebagai “tidak jelas dan saling bercanggah”.

Pada 11 Mac, Nair, yang bertindak bagi pihak keluarga Smit, memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan “nahas” itu, dengan berkata, Mahyon membuat “rumusan salah”.