Pegawai, anggota polis didakwa peras ugut RM5,000

Polis KL tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku pegawai atau anggotanya. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima 1 laporan berhubung dakwaan kes pemerasan melibatkan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Roslan Bek Ahmad berkata pengadu mendakwa ditahan 2 individu yang memperkenalkan diri sebagai polis ketika memandu kereta berhampiran UCSI Taman Connaught pada jam 4 petang, Selasa lepas.

“Mereka membuat pemeriksaan dalam kereta pengadu dan menjumpai dadah, namun pengadu menafikan dadah dijumpai miliknya.

“Pengadu juga mendakwa ditumbuk di bahagian muka dan dibawa ke Balai Polis Cheras dan semasa di balai, pengadu diberi pilihan sama ada mengaku dadah dijumpai tersebut merupakan miliknya atau membayar RM5,000 dan akan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Roslan berkata pengadu kemudian membayar jumlah wang berkenaan sebelum dibebaskan.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti 4 pegawai dan anggota yang disyaki terlibat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera).

Katanya siasatan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh pegawai atau anggotanya,” kata beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Lee Chen Shim di talian 016-713 2740, Pegawai Penyiasat, Mohd Hafizee Ismail di talian 013-358 7571, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.