Perjanjian tambahan ECRL tiada kaitan Jho Low, kata Dr M

Low Taek Jho sedang diburu pihak berkuasa berkaitan skandal 1MDB. (Gambar AFP)

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian tambahan menyambung semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dilakukan tanpa sebarang syarat untuk China menyerahkan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Ini tiada kena-mengena dengan Jho Low. Tetapi, sudah tentu kita minta bantuan kerajaan China, jika dia benar-benar berada di China,” katanya dalam sidang media mengenai projek ECRL di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jho Low yang diburu pihak berkuasa berkaitan skandal 1MDB, dilaporkan bergerak bebas di China.

Berkaitan perjanjian semak semula sebagai pertukaran untuk eksport minyak sawit dan perdagangan atau perkara lain mengenai siasatan 1MDB, Mahathir berkata, Putrajaya sedang menggesa China membeli minyak sawit dari Malaysia.

“Ia bukan berkait secara langsung, tetapi kita mengambil kesempatan atas perjanjian yang ditandatangani itu untuk membincangkan pembelian minyak sawit oleh China.”

Ditanya sama ada kerajaan terdahulu melambung kos projek itu untuk menyalurkan dana bagi membayar faedah dan pinjaman 1MDB, Mahathir berkata, mereka mengesyaki itu yang berlaku.

“Harga asal sangat tinggi, kita berjaya kurangkan RM21 bilion sekiranya projek dilaksanakan mengikut tatacara biasa.

“Kita boleh dapat harga yang lebih baik, tetapi sebelum ini diberikan sepenuhnya kepada syarikat China melalui rundingan terus.”

Mengenai kritikan Pakatan Harapan terhadap ECRL sebelum ini dan sama ada kebimbangannya sendiri mengenai perkara itu berkurangan, Mahathir berkata, beliau masih bimbang mengenainya.

“Kebimbangan ada, tetapi ini ialah penyelesaian terhadap kebimbangan kita.

“Sejak awal lagi, ketika kita masih dalam pembangkang, kita fikir cara perjanjian itu dibuat dan keseluruhan kosnya tidak betul, harga itu melambung.

“Seperti yang anda boleh lihat, ia boleh dilakukan pada harga lebih rendah. Kenapa Malaysia perlu terima kos tinggi ialah sesuatu yang kita tidak faham.”

Jumaat lalu, Putrajaya mengumumkan projek ECRL disambung semula dengan kos pembinaan fasa 1 dan 2 dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion.

Katanya, kos asal RM65.5 bilion dikurangkan sebanyak 32.8% susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak berkata, projek itu akan bermula secepat mungkin, tetapi bergantung kepada kelulusan pihak berkaitan.

“Kita lihat (projek itu dimulakan) seawal Mei. Secara efektif, apabila kita tandatangan perjanjian tambahan pada 12 April, penggantungan dibatalkan, jadi sekarang kita dalam proses merancang dan menggerakkan semua sumber.”

Katanya, kos dan kerugian akan dibahagikan secara sama rata antara MRL dan CCCC, tetapi MRL akan mendapat lebih banyak keuntungan, iaitu sehingga 80%.