PIKOM sambut baik cukai digital 6%

Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah berkata, cukai digital mewujudkan padang sama rata untuk pemain tempatan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menyokong pendirian kerajaan untuk mengenakan cukai digital sebanyak 6% ke atas penyedia perkhidmatan asing bermula 1 Jan, 2020.

Cukai 6% itu akan dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian diimport, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah berkata, cukai digital mewujudkan padang sama rata untuk pemain tempatan.

“Di bawah rejim cukai semasa, jualan perniagaan dikenakan cukai, bagaimanapun jualan perniagaan asing kepada pengguna tempatan, khususnya untuk barangan dan perkhidmatan digital, tidak dikenakan cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Negara lain seperti Singapura, New Zealand, Australia, Taiwan, Norway, Afrika Selatan dan Jepun mempunyai cukai seumpama itu atau peraturan mengenai transaksi berkaitan digital yang diimport.

New Zealand, Rusia dan Norway ketika ini mengenakan cukai lebih tinggi, iaitu masing-masing 15%, 18% dan 25%.

“Sebagai perbandingan, cukai digital Malaysia sebanyak 6% boleh dianggap rendah,” kata Ganesh.

PIKOM mewakili industri ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di Malaysia dan keahliannya terdiri lebih 1,000 syarikat yang terlibat dalam produk dan perkhidmatan ICT yang merangkumi kira-kira 80% daripada jumlah perdagangan ICT Malaysia.