Polis sahkan 2 pelajar Assunta hilang ditemui

KAPSYEN: Natshatra Navanita, 15, dan Divya Munian, 16, hilang sejak 11.40 malam semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis mengesahkan 2 pelajar Sekolah Menengah Assunta yang dilaporkan hilang selepas membatalkan tempahan perkhidmatan e-hailing, Grab semalam telah ditemui.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din bagaimanapun berkata, segala maklumat lanjut tidak boleh dikeluarkan berikutan siasatan sedang dijalankan.

Perkhidmatan e-hailing, Grab memulakan siasatan ke atas dakwaan kehilangan 2 penumpang bawah umur itu, susulan satu rayuan kepada orang ramai yang dimuat naik di Facebook.

Natshatra Navanita, 15, dan Divya Munian, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Assunta di sini, sepatutnya menaiki sebuah Grabcar malam tadi, tetapi mereka tidak pulang ke rumah.

Grab berkata, ia sudah menghubungi keluarga 2 gadis itu dan juga polis.

Menurut ibu bapa salah seorang gadis itu, kedua-dua pelajar terbabit hilang sejak 11.40 malam tadi dan mereka kali terakhir dilihat di Pangsapuri Maxwell Tower di Gasing Indah.

Menurut satu mesej yang tersebar di WhatsApp, 2 gadis itu menyertai sambutan Tahun Baru Tamil di sebuah kuil Hindu berhampiran, malam tadi.

Natshatra menunggu Divya di luar rumahnya untuk tempahan Grabcar Divya.