Presiden Mahkamah Rayuan pangku tugas ketua hakim mulai sekarang, kata bekas hakim

Jawatan ketua hakim negara kosong apabila Richard Malanjum bersara minggu lalu.

PETALING JAYA: Seorang bekas hakim berkata barisan seterusnya dalam kedudukan kehakiman perlu mengambil alih tugas ketua hakim negara tanpa memerlukan pelantikan formal, di tengah-tengah spekulasi siapa yang akan menjadi hakim tertinggi yang baru selepas persaraan Richard Malanjum minggu lalu.

Gopal Sri Ram berkata ini termaktub dalam Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman.

“Perlembagaan dan Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan presiden akan melaksanakan tugas dan fungsi ketua hakim apabila ia dikosongkan,” katanya kepada FMT.

Ini menjadikan Presiden Mahkamah Rayuan, Ahmad Maarop akan menjalankan tugas ketua hakim bagi menjalankan undang-undang, katanya.

Malanjum, yang mengetuai badan kehakiman selama 9 bulan, meninggalkan pejabatnya Khamis lalu dan bercuti awal, sehari sebelum persaraan rasmi.

Sri Ram berkata Ahmad akan melaksanakan tugas dan fungsi ketua hakim negara, termasuk menjadualkan ahli panel untuk mendengar kes di mahkamah tertinggi.

“Dia juga akan terus berfungsi sebagai ketua Mahkamah Rayuan,” katanya.

Beliau berkata kali terakhir situasi seperti itu berlaku pada 2000, ketika Lamin Mohd Yunus mengambil alih tugas itu daripada Mohamed Eusoff Chin selepas persaraannya.

“Lamin mengambil jawatan itu untuk masa yang singkat sebelum Mohamed Dzaiddin Abdullah dilantik sebagai ketua hakim,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sudah mempunyai calon untuk menggantikan Malanjum. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama.

Ini berlaku di tengah-tengah spekulasi mengenai siapa yang akan dilantik menjadi ketua hakim negara, memandangkan Ahmad akan bersara pada November.

Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim, yang berada pada kedudukan ke-3 teratas akan bersara bulan depan.

Dua hakim perempuan, Alizatul Khir Osman Khairuddin dan Rohana Yusuf, disebut-sebut sebagai calon untuk jawatan itu, selain bekas peguam bela Idrus Harun, yang kini menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, turut berpotensi untuk jawatan itu.