Sokong kami di Sandakan, jika anda tidak bertanding, Anak Negeri beritahu BN

Timbalan presiden Parti Kerjasama Anak Negeri Edwin Bosi berkata, parti itu telah menyenarai pendek 2 calon untuk PRK Sandakan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sebuah parti pembangkang Sabah mahu bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan jika Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calonnya di situ.

Parti Kerjasama Anak Negeri berkata, jika kemungkinan itu berlaku, ia berharap BN akan memberikan sokongan kepadanya.

Timbalan presiden parti itu, Edwin Bosi berkata, pihaknya telah menyenarai pendek 2 calon untuk PRK yang dijadualkan pada 11 Mei depan.

“Umno putuskan untuk tidak bertanding. Jika MCA pun berbuat begitu, maka kami berharap mereka (BN) akan menyokong calon Anak Negeri.

“Jika MCA memutuskan untuk bertanding, Anak Negeri akan menarik diri dan menyokong calon BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bosi berkata, BN berkemungkinan besar tidak akan menyokong calon parti yang keluar daripada bekas gabungan kerajaan itu.

“Kami sedar kerajaan Pakatan Harapan (PH) kehabisan wap sejak akhir-akhir ini berikutan kemenangan menakjubkan BN dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

“Momentum ke arah perubahan dan menolak PH adalah jelas kerana kegagalannya menunaikan bnyak janji pilihan raya,” kata beliau.

Difahamkan pemimpin Anak Negeri dan MCA mengadakan pertemuan awal hari ini bagi membincangkan kemungkinan kerjasama, bagaimanapun MCA belum membuat apa-apa keputusan setakat ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya, pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lepas.