Tuntutan palsu: HRDF senarai hitam 18 syarikat

Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) berada di bawah Kementerian Sumber Manusia.

KUALA LUMPUR: Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menyenaraihitam 18 syarikat kerana membuat tuntutan palsu dan mengeluarkan sijil palsu daripada organisasi yang diragui.

Ia adalah hasil audit dalaman selama 8 bulan yang menimbulkan persoalan mengenai penglibatan syarikat penyedia latihan kemahiran swasta yang menjalankan program latihan yang dipersoalkan sijilnya daripada organisasi yang diragui.

HRDF dijangka akan mendedahkan syarikat terbabit tidak lama lagi, dengan lebih banyak laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis terhadap bekas pegawai HRDF dan penyedia latihan swasta yang dijangka diserahkan minggu depan.

Minggu lalu, dilaporkan SPRM merampas dokumen dari HRDF berhubung siasatan ke atas tuntutan latihan palsu.

Ia susulan serbuan oleh Bukit Aman pada Januari.

Polis juga difahamkan akan menyiasat dakwaan pecah amanah dan penyelewengan dana.

Tuduhan itu termasuk dakwaan 4 pegawai tertingginya menerima bonus tinggi berjumlah RM1.25 juta.

Sementara itu, penyedia latihan kemahiran terkemuka Emmanuel Benson berdepan tuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kajang. Dia didakwa pada 10 Mac dan akan dibicarakan pada 10 Mei atas 1 pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Ia berpunca daripada laporan yang dibuat oleh rakan niaganya pada 2017 yang mendakwa Benson menyalurkan kontrak dan perniagaan dari rakan kongsi mereka Egraduate.Net Sdn Bhd kepada syarikat Benson sendiri, Smart Trends International Sdn Bhd.

Benson adalah ketua pegawai eksekutif dan pengarah Egraduate.Net dan kini pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Smart Trends International.

Benson mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM7,500.

Smart Trends diketahui menyenaraikan beberapa syarikat multinasional dan korporat berkaitan kerajaan sebagai pelanggan dan rakan kongsinya.