2 lagi lelaki periksa kereta peronda ditahan, direman 4 hari

5 lelaki memeriksa kereta peronda polis selepas mendakwa polis membawa lebihan kertas undi.

SEREMBAN: Dua suspek terakhir yang ditahan di Nilai dan Rantau, semalam, dipercayai terlibat dengan tindakan menahan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, Sabtu lepas, direman 4 hari.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi berkata kedua-dua mereka ditahan reman mulai semalam bagi membantu siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum ini memburu 5 individu disyaki terlibat kejadian menahan dan memeriksa sebuah MPV polis di hadapan SJKC Chung Hua, Rantau Sabtu lepas, selepas mendakwa pihak polis membawa lebihan kertas undi.

Berikutan itu, polis menahan 3 lelaki berusia 36 hingga 50 tahun di Rantau dan beberapa tempat di daerah ini antara 12 tengah hari dan 4 petang, kelmarin.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan penjual kenderaan, pemandu lori dan peniaga ayam direman 3 hari sehingga esok.