3 syarikat didakwa catut harga telur ayam

3 syarikat di Melaka mencatut harga telur ayam gred A, sehingga menyebabkan kenaikan peratusan margin dan tokok.

MELAKA: Tiga syarikat pengeluar telur ayam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mencatut dalam penjualan telur ayam gred A, sehingga menyebabkan kenaikan peratusan margin dan tokok.

Syarikat yang dituduh iaitu LTK (Melaka) Sdn Bhd, Chong Yee Nam Sdn Bhd dan Chong Wei Chit Sdn Bhd, masing-masing diwakili pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

LTK (Melaka), didakwa mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 17.46% sehingga menyebabkan kenaikan peratusan margin dari 12.29% kepada 29.75%, di premis syarikat itu di Batu 11 1/2, Durian Tunggal, Alor Gajah, pada 11.15 pagi, 7 Mac lepas.

Chong Yee Nam, didakwa mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 12.86%, sehingga menyebabkan kenaikan peratusan tokok dari 14.41% kepada 27.27% di premis syarikat itu di No 5097, Lendu New Village, Alor Gajah, pada 2.15 petang, 13 Dis tahun lepas.

Chong Wei Chit pula didakwa mencatut dalam penjualan sebiji telur ayam gred A sebanyak 27.59%, sehingga menyebabkan kenaikan peratusan tokok dari 5.06% kepada 32.65% di premis syarikat itu di No 6592 Jalan Lendu, Alor Gajah, pada 2.30 petang, 13 Dis 2018.

Ketiga-tiga syarikat itu didakwa melanggar Peraturan 3(b) dan 3(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Tidak Munasabah) 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(a) akta sama.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga syarikat terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 dan bagi kesalahan ke-2 atau berikutnya, didenda tidak lebih RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Hazril Harun dan Mohammed Heikal Ismail, manakala peguam Nahdan Rengganathan Abdullah mewakili ketiga-tiga syarikat itu.

Mahkamah menetapkan 16 Mei untuk sebutan semula kes.