Adib mungkin tak jangka diserang, kata saksi

Dr Shahrom Abd Wahid.

SHAH ALAM: Saksi dalam prosiding inkues kematian ke atas Muhammad Adib Mohd Kassim memaklumkan anggota bomba itu mungkin tidak menjangka akan diserang ketika di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abd Wahid berkata, teori itu dibuat kerana belum pernah ada ahli bomba diserang dan juga berdasarkan kesan kecederaan.

“Dalam keadaan rusuhan, dia memikirkan dia ahli bomba dan kemungkinan dia tidak diserang sebab dia (ahli) bomba. Belum ada anggota bomba diserang.

“Di kepalanya ini pertama kali jadi, (jadi) dia tidak terfikir akan diserang,” kata saksi ke-29 itu.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember, 3 minggu selepas cedera dalam rusuhan di depan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor.

Shahrom, 62, berkata demikian di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah dalam prosiding inkues.

Shahrom berkata, 4 rusuk bahagian depan patah akibat hentakan sisi pintu penumpang depan van EMRS yang tumpul dan nipis.

Tujuh rusuk kiri belakang pula, katanya, patah akibat hentakan badan Adib ke rangka pintu van yang sama.

“Kemungkinan besar Adib tidak melawan selepas diserang alami kesakitan yang teramat di tulang kanan, depan dan belakang serta tulang rusuk kiri selain kecederaan di paru-paru.

“Dia mungkin juga separa sedar apabila diserang. Dia sedar dirinya bergerak dan ditarik tapi untuk meronta-ronta melawan tidak ada reaksi,” katanya yang mengeluarkan teori itu berdasarkan lakonan semula sebelum ini.

Sebelum ini, Shahrom dilaporkan berkata, Adib mungkin ditarik dari tempat duduk depan van EMRS berdasarkan luka sagat di belakang pinggangnya dan 3 butang yang hilang dari pakaian seragamnya.

Pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dilaporkan berkata, kecederaan Adib tidak sepadan tumbukan atau tendangan, sebaliknya ia akibat impak terlanggar pintu kiri van EMRS.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Adib mengalami kecederaan itu akibat terhimpit 2 permukaan keras.

Sebelum inkues bermula hari ini, kehadiran Hafizam bersama-sama pasukan pendakwa dipersoalkan.

Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mewakili keluarga Adib, Syazlin Mansor berkata, beliau melihat Hafizam pada prosiding yang lalu memberi soalan cadangan untuk dikemukakan kepada Shahrom.

Syazlin memohon agar Hafizam tidak dibenarkan berada di ruangan itu kerana menurutnya, tidak wajar berlaku sedemikian.

Beliau turut menyarankan sekurang-kurangnya Mahkamah Koroner hanya membenarkan pakar forensik yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat ke atas Adib itu duduk di tempat orang awam sebagai salah seorang saksi yang mendengar prosiding sahaja.

Bagaimanapun, Rofiah menolak permohonan tersebut dan menganggap kehadiran Hafizam sebagai pihak pakar yang terlibat dalam kes.